BWYS Group sasar kumpul RM56.4 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

BWYS Group sasar kumpul RM56.4 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - BWYS Group Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Julai 2024 menyasarkan untuk mengumpul RM56.4 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Pengeluar produk logam kepingan dan pembekal perancah itu berkata, IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 256.3 juta saham biasa baharu, mewakili 25% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 100 juta saham sedia ada atau 9.8% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

"Berdasarkan harga IPO 22 sen sesaham dan saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1,025.2 juta saham, permodalan pasaran kumpulan itu semasa penyenaraian adalah kira-kira RM225.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sempena pelancaran prospektus syarikat itu.

 

Daripada 256.3 juta saham terbitan, 51.3 juta akan ditawarkan kepada masyarakat Malaysia melalui proses pengundian, 61.5 juta kepada pengarah, pekerja dan penyumbang syarikat yang layak melalui peruntukan borang merah jambu.

 

Sejumlah 128.2 juta kepada pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian dan 15.4 juta kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Pengarah Urusan BWYS, Kang Beng Hai berkata, kebanyakan hasil IPO akan digunakan untuk pembukaan kilang baharu bagi mengembangkan kemudahan pembuatannya bagi produk kepingan logam.

 

"Selain itu, kami akan membeli jentera serta peralatan baharu termasuk barisan salutan serbuk automatik baharu serta mesin membentuk gulungan dan peralatan berkaitan bagi meningkatkan keupayaan pembuatan kami untuk kekuda bumbung dan sistem rak industri," katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan tu sedang mengembangkan rangkaian produknya dengan meneroka pembuatan panel poliuretana, yang menawarkan penebat daripada haba dan bunyi, dan juga melaksanakan sistem teknologi maklumat dan komunikasi bagi mendigitalkan proses pengurusan pengeluaran serta inventorinya bagi menambah baik aliran kerja pengeluarannya.

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com