Cadangan sukuk RM310 juta Widad Concession dapat penilaian AA1 RAM Ratings | DagangNews Skip to main content

Cadangan sukuk RM310 juta Widad Concession dapat penilaian AA1 RAM Ratings

Pengarah Urusan Kumpulan WGB, Datuk (Dr) Mohd. Rizal Mohd Jaafar

 


KUALA LUMPUR 10 Sept. – RAM Ratings memberi penarafan AA1/Stabil kepada Widad Concession Sdn. Bhd. bagi cadangan Kemudahan Sukuk Wakalah RM310 juta. 

 

Widad Concession, merupakan subsidiari milik penuh Widad Group Bhd (WGB) yang ditubuhkan bagi membiayai kos pemerolehan untuk perkongsian awam swasta (PPP) atau inisiatif kewangan projek yang diusahakan oleh YBK Usahasama Sdn. Bhd. (YBKU).

 

YBKU memegang konsesi 23 tahun bagi pembangunan dan penyelenggaraan kampu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka (projek) yang mana akan tamat pada 2 Februari 2034. 

 

WGB melengkapkan pemilikan ke atas syarikata pegangan YBKU, Serendah Heights Sdn Bhd, pada penghujung Mac lalu. Aktiviti perniagaan Serendah Height hanya terhad kepada YBKU sahaja.  

 

RAM Ratings dalam kenyataan berkata, dari perspektif aliran tunai, Widad Concession akan bergantung sepenuhnya kepada YBKU dan Serendah Heights bagi melaksanakan tanggungjawabnya di bawah sukuk yang dicadangkan.

 

Bagi memenuhi tanggungjawab itu, bayaran saham Murabahah separuh tahun dan dividen dari 2 entiti tersebut akan digunakan bagi tujuan tersebut. 

 

YBKU juga menerima pembayaran segera daripada UiTM sejak menyiapkan kampus pada 30 Januari 2014. 
Pemotongan berkaitan prestasi adalah minimum pada kadar kurang daripada 1% setahun.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WGB, Datuk (Dr) Mohd. Rizal Mohd Jaafar berkata, penarafan AA1/ stabil yang diberikan oleh RAM Ratings mengukuhkan lagi keyakinan terhadap WGB di dalam visinya untuk terus membangun perniagaan yang teguh dan menekankan pertumbuhan, produktiviti serta kekuatan kewangan.

 

"Bagaimanapun, tinjauan untuk 2021 amat sukar untuk diduga tetapi dengan selesainya pemerolehan syarikat konsesi dan jangkaan aliran tunai yang kukuh, kami merasa positif untuk menerajui industri Pengurusan Kemudahan Bersepadu sebagai pemain industri yang maju. 

 

"Kami  juga optimis untuk mencapai hasil prestasi utama dan mengekalkan prestasi kewangan tahun ini,” katanya.

 

Disenaraikan di Bursa Malaysia, WGB terlibat di dalam pembinaan, pengurusan kemudahan bersepadu dan konsesi. 

 

Ketika ini, Widad memiliki pesanan buku yang cemerlang iaitu RM1.5 bilion yang dijana daripada pengurusan kemudahan bersepadu dan perniagaan pembinaan. - DagangNews.com