Cagamas terbit Kertas Komersial Islam RM300 juta biayai pembelian aset patuh syariah | DagangNews Skip to main content

Cagamas terbit Kertas Komersial Islam RM300 juta biayai pembelian aset patuh syariah

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Cagamas Bhd, perbadanan gadai janji negara, menerbitkan Kertas Komersial Islam (ICPs) 3 bulan bernilai RM300 juta.

 

Kertas ICPs ini akan diterbitkan di bawah struktur Murabahah Komoditi Islam dan hasil daripada terbitan itu akan akan digunakan untuk pembelian aset patuh syariah.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, kertas ICPs ditetapkan harga pada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur tiga bulan (KLIBOR) ditambah 5 mata asas (bps) atau setara dengan 1.99% berdasarkan penetapan KLIBOR pada tarikh harga dan tebarannya (spread) adalah 23 bps melebihi Bil Perbendaharaan Islam Malaysia.

 

Terbitan baharu ini menjadikan terbitan agregat syarikat untuk tahun ini kepada RM8.45 bilion.

 

"Kami gembira syarikat dapat memuktamadkan terbitan terbaru ini yang menyaksikan minat berterusan dalam kertas jangka pendek kami, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Kertas-kertas berkenaan yang akan ditebus pada nilai nominal penuh mereka apabila matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, kedudukan setara sesamanya, dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat.

 

Terbitan itu akan disenarai dan didagangkan dalam Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip.

 

Menurut beliau, prospek pertumbuhan global kekal tidak menentu susulan kebimbangan bahawa pemulihan ekonomi menunjukkan tanda-tanda goyah di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19 berikutan kemunculan varian baharu yang semakin meningkatkan ketakutan terhadap kawalan pergerakan.

 

"Di dalam negara, pelabur terus berhati-hati kerana kekurangan pemangkin kukuh di pasaran ekoran ketidakpastian yang berkisar dengan pandemik COVID-19 dan kemajuan vaksinasi," katanya. - DagangNews.com