Cagamas terbit Nota Jangka Sederhana Islam bernilai RM120 juta untuk dua tahun | DagangNews Skip to main content

Cagamas terbit Nota Jangka Sederhana Islam bernilai RM120 juta untuk dua tahun

KUALA LUMPUR 16 Feb - Perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Berhad (Cagamas) telah memuktamadkan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM120 juta bagi tempoh dua tahun.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata hasil itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pembiayaan rumah daripada sistem kewangan domestik.

 

“Kami berbesar hati kerana berjaya membuat satu lagi terbitan walaupun dalam persekitaran kebimbangan terhadap pengetatan monetari oleh bank pusat di seluruh dunia dalam memerangi inflasi dan kelembapan pertumbuhan global yang mungkin akan berlaku.

 

“Terbitan itu mencerminkan daya tahan dalam kertas berkenaan terhadap tekanan menaik dalam hasil domestik, mencerminkan pergerakan pendapatan tetap global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

 

IMTN ditetapkan harga melalui penempatan persendirian telah dimuktamadkan dengan mencatatkan sebaran 46 mata asas berbanding Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

 

Chee Leong berkata, terbitan baharu itu menjadikan agregat dana syarikat yang diperoleh untuk tahun itu kepada RM819 juta.

 

Kertas tersebut akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang, ia adalah obligasi tidak bercagar Cagamas pada kedudukan berkadaran dengan langkah yang sama dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat. - DagangNews.com