KUALA TERENGGANU 17 Nov - Semua calon Barisan Nasional (BN) di lapan kerusi Parlimen Terengganu adalah individu yang banyak pengalaman, mempunyai latar belakang agama yang baik serta mahir dalam bidang ekonomi untuk membawa perubahan di Terengganu agar manfaatnya dapat dirasai penduduk negeri itu.
Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata pengalaman luas yang dimiliki setiap calon juga berdasarkan kepakaran dan kelebihan masing-masing akan mengubah wajah setiap kawasan Parlimen seperti mini manifesto yang telah ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 kali ini.
Menurutnya, di Hulu Terengganu, calon BN iaitu Datuk Rozi Mamat mahu meneruskan agenda pembangunan sukan, pelancongan di Tasik Kenyir dan sektor pendidikan melalui pembinaan Politeknik.
"Di Besut pula, calon kita, Datuk Nawi Mohamad akan meneruskan agenda pembangunan yang telah dirintis oleh Tan Sri Idris Jusoh untuk menjadikan Besut sebagai sebuah daerah yang terkenal sebagai pusat pendidikan dan pelancongan bertaraf dunia.
"Begitu juga di Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali bertekad memanfaatkan pengalaman luasnya dalam bidang perniagaan dan pengurusan korporat untuk membantu rakyat di kawasan itu melalui Tabung Cakna Kuala Nerus," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Ahmad yang turut bertanding buat kali pertama di Parlimen Kemaman menegaskan semua calon BN yang berkempen sejak 5 Nov lalu juga sangat cakna dengan setiap permasalahan yang dikemukakan oleh rakyat di Terengganu antaranya isu perumahan, banjir kilat, kesesakan lalu lintas, peluang pekerjaan dan kelembapan ekonomi yang menghantui mereka selama ini.
"Semua masalah itu akan diberi keutamaan untuk diselesaikan sekiranya BN diberi mandat kemenangan dalam hari penentuan, Sabtu ini.
"Semua aduan, luahan dan cadangan telah kita ambil maklum agar dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab selepas ini," katanya yang berpuas hati dengan perjalanan kempen calon BN Terengganu yang masih berbaki dua hari lagi.
Empat calon BN yang lain ialah Nurhisham Johari (Dungun), Datuk Abdul Rahman Mat Yasin (Setiu), Jasmira Othman (Marang) dan Datuk Mohd Zubir Embong (Kuala Terengganu).
Tambahnya, sektor ekonomi juga akan diberi fokus utama untuk merancakkan lagi industri Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PMKS) untuk semua kaum di Terengganu hidup lebih selesa dengan pendapatan yang sewajarnya.
"Pelancongan, pendidikan dan pelaburan dari luar ini perlu digerakkan seiring untuk mewujudkan masyarakat yang stabil, harmoni dan hidup aman damai agar kemakmuran itu dapat diwariskan kepada generasi akan datang," katanya.
Ditanya penerimaan pengundi Terengganu memandangkan ia dilabel sebagai antara kubu kuat Pas di Malaysia, Ahmad berkata selera pengundi sentiasa berubah, malah banyak yang mengaku kecewa dengan perkhidmatan penyandang di Parlimen sedia ada.
Beliau memberitahu ramai pengundi yang ditemui mengaku agak kecewa kerana tidak banyak pembaharuan yang dibawa di Terengganu sebaliknya semua projek yang ada ialah hasil usaha BN seperti Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Jalan Pintas Kuala Terengganu (KT Bypass), pembangunan Tasik Kenyir dan beberapa pusat beli belah.
"Selepas BN tewas pada PRU-14, rakyat di seluruh Malaysia berdepan dengan pemerintahan yang tidak stabil dan telah beberapa kali bertukar kerajaan menyebabkan tempiasnya turut dirasai di Terengganu.
"Oleh itu, pada PRU-15 kali ini, mereka mahu berubah ke arah kerajaan yang boleh membawa mesej kemakmuran dan kestabilan demi masa depan yang lain baik kerana mereka sedar hanya BN sahaja yang boleh memacu negara untuk pembangunan dan kebajikan yang menyeluruh," ujarnya. - DagangNews.com