SHAH ALAM 12 April – CapitaLand Malaysia, sebuah unit di bawah CapitaLand yang merupakan antara kumpulan hartanah terbesar di Asia, menawarkan kemudahan tambahan kepada para pengguna melalui satu siri inisiatif digital yang merupakan sebahagian daripada strategi omnichannel untuk membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan norma baharu akibat pandemik COVID-19.
CapitaLand Malaysia adalah pengendali pusat beli-belah pertama di Malaysia yang mempunyai kehadiran di platform Grab melalui Malls by GrabMart.
Semua tujuh pusat beli-belah dibawah naungan CapitaLand Malaysia di atas platform ini adalah Queensbay Mall di Pulau Pinang, Melawati Mall di Taman Melawati dan lima lagi yang dimiliki oleh CapitaLand Malaysia Mall Trust – Gurney Plaza di Pulau Pinang, Sungai Wang Plaza di Kuala Lumpur (di mana CapitaLand Malaysia Mall Trust merupakan pemegang kepentingan majoriti), 3 Damansara di Petaling Jaya, The Mines di Sri Kembangan dan East Coast Mall di Kuantan.
Eddie Lim, Ketua, Peruncitan, CapitaLand Malaysia, berkata, semasa COVID-19 ini, adalah penting untuk pihaknya melaksanakan strategi omnichannel holistik yang bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan nilai tambah bagi memenuhi keperluan para pengguna dan juga peruncit, secara dalam talian dan di luar talian.
Amalan norma baharu telah menjadi pemangkin kepada penggunaan pendigitalan yang lebih besar dalam sektor peruncitan di Malaysia. "Sejajar dengan norma baharu ini, kami berusaha untuk menawarkan kemudahan, dan pada masa sama, melindungi pembeli dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan mereka sebagai keutamaan kami. Kami berharap para pembeli kami boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang selamat dan lancar, tidak kira di mana pun mereka berada,” ujarnya.
Di samping peralihan dalam tabiat penggunaan, pandemik ini juga meninggalkan impak yang mendalam dan ketara di dalam sektor perniagaan serta industri kerana semakin ramai rakyat Malaysia yang memilih untuk kekal berada di rumah.
Kini pembeli boleh menikmati kemudahan berbelanja di pusat beli-belah CapitaLand di ruang digital dalam keselesaan di rumah mereka sendiri. Dengan lebih daripada 50 peruncit di bawah CapitaLand yang tersenarai di Malls by GrabMart, pembeli kini boleh menggabungkan pesanan mereka dari kedai berbeza dalam pusat beli-belah yang sama dan hanya membayar satu kos penghantaran untuk pesanan mereka.
JJ Tan, Ketua Komersial, Grab Malaysia berkata, COVID-19 telah membawa cabaran yang tidak diduga kepada sektor peruncitan tempatan. Grab memperkenalkan konsep peruncitan segera untuk membantu peruncit (Perusahaan Kecil dan Sederhana dan rantaiannya) supaya mampu terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan mereka di rumah melalui penghantaran yang pantas dan selamat.
"Dengan jenama yang popular di bawah senarai peruncit CapitaLand di Malls by GrabMart, kami yakin pembeli akan mendapati lebih mudah untuk membeli secara dalam talian daripada peniaga ini dan barangan pembelian mereka akan dihantar terus ke depan rumah dalam satu pesanan dengan satu kos penghantaran. Ini pasti akan menjadi kaedah yang jauh lebih selamat dan menjimatkan untuk membeli pelbagai barangan dari kedai berbeza di pusat beli-belah yang sama,” katanya.
Untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah, pembeli boleh menikmati ganjaran tambahan melalui CapitaStar, iaitu program ganjaran tanpa kad berbilang kedai dan pusat beli-belah CapitaLand.
Pembeli boleh mendaftar secara percuma melalui aplikasi mudah alih CapitaStar dan mengumpulkan mata ganjaran dengan pembelian minimum RM30 dari peruncit di pusat beli-belah CapitaLand serta menukarkannya kepada e-baucar tunai (dikenali sebagai STARVoucher) serta ganjaran lain.
Bermula sekarang hingga 31 Mei ini, CapitaLand Malaysia akan memberi lebih banyak ganjaran kepada para pembeli melalui kempen Mission STAMPo$$ible Rewards. Pembeli yang melengkapkan sembilan misi pada kad setem digital dengan perbelanjaan sebanyak RM50 atau lebih di mana-mana cawangan restoran dan peruncit di pusat beli-belah CapitaLand akan berpeluang untuk memenangi STARVoucher bagi pembelian mereka di semua tujuh pusat beli-belah CapitaLand di Malaysia.
Pada masa yang sama, bermula 1 Mac 2021, pembeli yang telah mendaftar sebagai ahli CapitaStar, boleh mendapat dua kali ganda mata ganjaran STAR$ dan tambahan 500 mata ganjaran STAR$ atas transaksi pertama dalam bulan kelahiran mereka. CapitaLand Malaysia juga telah memperkenalkan rebat parkir di Gurney Plaza dan Queensbay Mall di Pulau Pinang, East Coast Mall di Kuantan, 3 Damansara, Sungei Wang Plaza dan The Mines di Lembah Klang, di mana ahli CapitaStar boleh menebus rebat tersebut melalui aplikasi CapitaStar untuk pembayaran parkir secara terus di kiosk parkir tanpa tunai. - DagangNews.com