Carsome lancar 'Cara Baru Membeli Kereta' | DagangNews Skip to main content

Carsome lancar 'Cara Baru Membeli Kereta'

Carsome

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Platform dagangan kereta terpakai yang terbesar di Asia Tenggara, Carsome melancarkan 'Cara Baru Membeli Kereta' yang menawarkan ilmu baharu pembelian kereta terpakai dengan lebih terjamin.

Pengasas Bersama dan Pegawai Eksekutif Carsome, Eric Cheng berkata, inisiatif tersebut merupakan segmen perniagaan-ke-pengguna (B2C) bersempena dengan pembukaan kedai utamanya iaitu Pusat Pengalaman Carsome di Kuala Lumpur.

"Carsome meningkatkan pengalaman membeli kereta terpakai dengan memperkenalkan proses digital yang lebih telus. Usaha ini juga adalah untuk membantu menyelesaikan masalah yang sering dihadapi oleh industri kereta terpakai seperti kekurangan keyakinan semasa membeli kereta.

"Kami ingin mencipta pengalaman hujung ke hujung yang penuh keyakinan bagi pelanggan ketika membuat pembelian kereta terpakai," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Carsome

'Cara Baru Membeli Kereta' Carsome bermula dengan melayari model kereta dengan maklumat terperinci dan membuat tempahan pandu uji secara dalam talian.

Pandu uji yang sebenar akan dijalankan di Pusat Pengalaman Carsome.

Selepas pengesahan pembelian, Carsome akan bertindak menguruskan proses keseluruhan bagi pelanggan untuk memastikan pengalaman dari atas talian ke luar talian berjalan dengan lancar.

Menariknya juga, Carsome turut memperkenalkan pakej Carsome Promise yang pertama di pasaran serta Carsome Certified.

Carsome Promise menawarkan waranti satu tahun dan jaminan wang dikembalikan selama lima hari kepada kereta Carsome Certified yang terpilih.

Carsome

Kereta Carsome Certified telah menjalani pemeriksaan 175 poin ketat, tidak mengalami kemalangan besar dan tidak mengalami kerosakan struktur atau banjir.

Jelas beliau lagi, bersempena pelancaran tersebut juga, Carsome turut memperkenalkan jenama baharunya dengan penampilan logo lebih profesional di samping promosi pelancaran baharu.

Antara promosi yang dijalankan adalah seperti berikut;

  • Barangan eksklusif Carsome untuk 100 pelanggan pertama yang menjalani pandu uji
  • Program Diskaun Trade-in bagi pelanggan yang pernah menjual kereta mereka kepada Carsome akan menikmati diskaun RM500 apabila mereka membeli kereta daripada Carsome.
  • Promosi Refer-A-Friend bagi pembeli kereta Carsome boleh menjemput keluarga dan rakan-rakan mereka untuk membeli kereta daripada Carsome. Kedua-dua pihak akan mendapat ganjaran tunai gabungan sehingga RM800. - DagangNews.com