KUALA LUMPUR 9 Okt - Catcha Digital Berhad menerusi, iMedia Asia Sdn. Bhd. dua perjanjian baharu bagi mengambil alih 49% kepentingan ekuiti Ittify Sdn. Bhd. dan 30% kepentingan dalam Headline Media Sdn. Bhd. berharga RM4.66 juta.
Menerusi pengambilalihan itu, Catcha Digital akan memiliki 100% kepentingan ekuiti Ittify selepas penyempurnaan pemerolehan itu.
Pengambilalihan itu berharga RM3.43 juta dan akan dibayar dalam dua peringkat bagi tempoh dua tahun.
Dalam penganbilalihan kedua, Catcha Digital bersetuju untuk mengambil alih 30% kepentingan ekuiti Headline Media dengan pilihan memperoleh 50% lagi kepentingan ekuiti dalam tempoh 36 bulan.
Headline Media memiliki dan mengendalikan WeirdKaya, LokLokWords dan EzLokal. Pengambilalihan itu berharga RM1.23 juta dan akan dibayar dalam dua peringkat dalam tempoh dua tahun.
Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata, pihaknya menjangkakan pengambilalihan itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan keseluruhan perniagaan pada masa hadapan.
"Misi kami adalah untuk membina kumpulan digital terkemuka di Asia Tenggara dan kami akan terus mengejar pelaburan dan pemerolehan yang meningkatkan pendapatan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Catcha Digital, Eric Tan berkata, penambahan Headline Media, ia akan mengukuhkan rangkaian bahasa Inggeris kumpulan itu dan menawarkan rumusan pengiklanan yang lebih komprehensif kepada semua pelanggan.
"Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan pasukan Headline Media ke dalam keluarga Catcha Digital dan juga amat berbangga kerana telah memperoleh baki 49% kepentingan ekuiti Ittify.
"Ittify terus berkembang dengan baik, menghasilkan kira-kira RM530,000 keuntungan selepas cukai untuk tempoh kewangan enam bulan berakhir 30 Jun 2023," katanya. - DagangNews.com