CCP lengkapkan pengambilalihan 68% pegangan ekuiti dalam Affin Hwang Asset Management | DagangNews Skip to main content

CCP lengkapkan pengambilalihan 68% pegangan ekuiti dalam Affin Hwang Asset Management

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - CVC Capital Partners (CCP) melengkapkan pengambilalihan 68% ekuiti di dalam Affin Hwang Asset Management Berhad hari ini.

 

Pengambilalihan oleh CCP dengan nilai AS$125 bilion (RM556 bilion) di bawah pengurusan AUM, ia akan menyediakan Affin Hwang AM dengan batu loncatan yang kukuh dalam melakarkan fasa pertumbuhan seterusnya meningkatkan platform kekayaannya serta merangsang pendigitalan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

 

Pengarah Urusan Affin Hwang AM, Datuk Teng Chee Wai berkata, penyelesaian transaksi hari ini menandakan satu lembaran baharu yang menarik untuk syarikat itu dan pelanggannya yang dihargai.

 

"Dengan kekuatan pemegang saham, sinergi daripada perkongsian kami dengan CCP dan Nikko Asset Management akan membolehkan kami mengembangkan keupayaan dan meluaskan rangkaian penawaran.

 

"Ia termasuk memanfaatkan kepakaran CCP dalam pasaran swasta dan kelas aset alternatif untuk memacu pertumbuhan dalam perniagaan pengurusan kekayaan kami serta menerajui penyelesaian digital baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Chee Wai berkata, tujuan dan nilai teras syarikat kekal teguh bersama pasukan pengurusan bersama kakitangan pelaburan utama yang telah membina syarikat ini sejak 20 tahun lalu.

 

"Pelanggan kami akan terus menjadi keutamaan di dalam perniagaan kami sambil kami membina kekayaan mampan jangka masa panjang untuk generasi akan datang," katanya.

 

Pada 28 Januari 2022, Affin Bank Berhad mengumumkan bahawa CCP bersetuju untuk mengambil alih kira-kira 68% kepentingan ekuiti dalam Affin Hwang AM.

 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan pengambilalihan itu pada 1 Julai 2022 dan selepas proses itu sempurna pada 29 Julai 2022, Affin Hwang AM sudah tidak lagi menjadi anak syarikat Affin Hwang Investment Bank Berhad.

 

Syarikat itu akan memulakan usaha penjenamaan semula 20 tahun dan meletakkan semula syarikat untuk fasa pertumbuhan seterusnya dan proses itu dijanngka siap sepenuhnya pada 4QFY22. - DagangNews.com