CelcomDigi terus bimbing PKS ke arah pendigitalan menerusi Bengkel Digital Usahawan MY5G edisi kedua | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi terus bimbing PKS ke arah pendigitalan menerusi Bengkel Digital Usahawan MY5G edisi kedua

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Nov - CelcomDigi meneruskan usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam mendigitalkan perniagaan mereka menerusi penganjuran edisi kedua Bengkel Digital Usahawan MY5G di Alor Setar, awal minggu ini.

 

Program itu direka khusus bagi memberi peluang kepada PKS mempelajari dan mengenal pasti teknologi yang sesuai dan rumusan digital 5G dan bengkel kedua itu dihadiri oleh lebih 250 usahawan tempatan.

 

Diadakan dengan kerjasama Astro, eDesa, Lazada, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kumpulan Siti Khadijah, SME Bank Group, SME Corp, Tik Tok Shop, dan Touch'n Go eWallet, bengkel MY5G SME Digital ini menyokong usaha pendigitalan PKS dengan memberikan mereka alat dan kepakaran yang diperlukan bagi memulakan perjalanan transformasi digital.

 

"Peserta berpeluang belajar dan mendapatkan pandangan daripada rakan kongsi program dan rumusan yang tersedia serta pengalaman tentang cara pendigitalan perniagaan telah membawa mereka ke tahap sekarang.

 

"Topik lain yang dibincangkan pada bengkel itu termasuk pembiayaan, mengurus dan mengendalikan perniagaan dalam talian, cara memperkukuh kehadiran jenama dalam ruang dalam talian dan melibatkan pelanggan melalui media sosial dan juga pengenalan kepada e-dagang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, CelcomDigi memulakan siri Bengkel Digital Usahawan MY5G dengan penganjuran bengkel yang pertama di Kota Bharu, Kelantan pada September lalu.

 

Bengkel itu ialah sebahagian daripada Siri CelcomDigi MY5G, yang merangkumi tiga bahagian program Meja Bulat CEO MY5G dan Persidangan Perniagaan 5G dan Pameran Teknologi.

 

Ia bertujuan membantu mewujudkan kesedaran tentang faedah pendigitalan serta penerimaan dan aplikasi 5G dalam kalangan komuniti perniagaan di Malaysia.

 

Bengkel terakhir untuk tahun ini akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 Disember, 2023. - DagangNews.com