MCE perkukuh kehadiran di India melalui perjanjian usaha sama dengan Abhishek Group | DagangNews Skip to main content

MCE perkukuh kehadiran di India melalui perjanjian usaha sama dengan Abhishek Group

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Nov - Penyedia penyelesaian elektronik automotif dan mekatronik, MCE Holdings Berhad (MCE), melalui anak syarikat milik penuhnya, MCE Ventures Sdn Bhd, memeterai perjanjian usaha sama (JV) dengan Abhishek Electronics Manufacturing Private Limited (AEM) untuk membangunkan, mengeluarkan dan memasarkan komponen elektronik automotif di India.

 

AEM, anak syarikat Abhishek Group, adalah syarikat pemegang pelaburan dalam pembuatan dan perdagangan komponen automotif. 

 

Beribu pejabat di Gurugram, Haryana, India, AEM mempunyai hampir 40 tahun pengalaman dalam sektor automotif India, bermula dengan produk keselamatan dan berkembang kepada pelbagai aksesori automotif. 

 

Rangkaian perkongsian kumpulan itu merangkumi Jepun, Korea, China, Jerman dan Amerika Syarikat.

 

Di bawah kerjasama tersebut, MCE dan AEM akan menubuhkan syarikat usaha sama baharu, Multi-Code Abhishek K Auto Components Pvt. Ltd., untuk memperluaskan kemampuan pembuatan komponen automotif di India. 

 

MCE akan memegang 55 peratus kepentingan ekuiti, manakala AEM akan memiliki 45 peratus lagi.

 

Penandatanganan perjanjian usaha sama itu merasmikan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 5 Disember 2023. 

 

Melalui perjanjian terbabit, kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat untuk membangunkan, mengeluarkan dan memasarkan Sistem Bantuan Parkir Belakang, Pemantauan Pandangan Sekeliling, Pemasangan Suis dan Pengatur Tingkap Kuasa di India.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr. Goh Kar Chun berkata, usaha sama itu mencerminkan komitmen untuk menjadikan perjanjian strategik sebagai Kerjasama yang bermakna. 

 

"Ia memberi peluang untuk membawa kepakaran teknologi dan inovasi kami ke satu pasaran automotif yang berkembang pesat di dunia. 

 

"Dengan memanfaatkan pandangan pasaran mendalam AEM bersama kemampuan kami, kami yakin kerjasama ini akan meluaskan capaian kami di India dan seterusnya mengukuhkan jejak global MCE serta potensi eksport kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah AEM, Shreedhar Gupta berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan MCE, untuk meningkatkan kemampuan syarikat dalam menyediakan penyelesaian berkualiti tinggi yang disesuaikan dengan keperluan pasaran automotif India yang dinamik. 

 

"Bersama-sama, kami mahu memberikan nilai lebih kepada OEM tempatan, mengukuhkan kehadiran kami di pasaran dan menyumbang kepada kemajuan industri serta ekonomi dengan mempromosikan inisiatif Made in India yang digerakkan oleh Kerajaan India," ujarnya.

 

Sektor automotif India adalah antara yang terbesar di dunia, dengan 4.2 juta kenderaan penumpang dijual pada tahun kewangan 2023-2024, mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 8.4 peratus. 

 

Prestasi kukuh itu menonjolkan India sebagai pasaran pertumbuhan utama bagi industri automotif. - DagangNews.com