CGS-CIMB: DNB tidak mungkin dibubarkan, rangkaian model dwi 5G kekal sebagai antara pilihan | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB: DNB tidak mungkin dibubarkan, rangkaian model dwi 5G kekal sebagai antara pilihan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Kerajaan tidak mungkin akan membubarkan Digital Nasional Bhd (DNB) selepas semakan pelancaran Rangkaian Borong Tunggal (SWN) 5G, walaupun rangkaian model dwi dilihat lebih mahal namun kekal sebagai antara pilihan.

 

CGS-CIMB Research berkata, Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil yang mengadakan perbincangan dengan semua syarikat telekomunikasi selepas Belanjawan 2023 dan mengesahkan bahawa Malaysia akan mempercepatkan liputan 5G kepada 80% menjelang akhir 2023 (dari akhir 2024).

 

“Beliau (Fahmi) selanjutnya berkata pada 9 Mac 2023 bahawa kerajaan akan menghormati kontrak yang ditandatangani untuk pelancaran 5G DNB, yang menunjukkan bahawa pembubaran DNB tidak mungkin berlaku,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, SWN mungkin diteruskan kerana kos yang lebih rendah akan memberi kesan positif kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

 

"Pada pandangan kami, senario yang mungkin berlaku adalah penerusan model SWN (dengan ketelusan yang dipertingkatkan) dan MNO dibenarkan untuk menggunakan 5G pada spektrum sedia ada mereka melalui Perkongsian Spektrum Dinamik (DSS),” katanya.

 

Firma itu berkata, walaupun DSS tidak akan menawarkan kelajuan yang lebih pantas berbanding 4G, ia akan meluaskan liputan 5G dengan pantas (ditambah dengan penggunaan spektrum sub-6GHz baharu) selaras dengan aspirasi kerajaan.

 

Katanya, jika ketelusan yang dipertingkatkan dan DSS 5G membawa kepada pengurangan kos pelancaran 5G, dan sejajar dengan itu, yuran borong yang lebih rendah dan firma itu percaya ia akan membantu meningkatkan pendapatan teras sesaham (EPS) MNO FY23-FY25.

 

Firma itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan model DWN dan memberi laluan kepada rangkaian yang dipacu secara persendirian.

 

"Keadaan akan menjadi lebih kompleks kerana melibatkan peruntukan semula spektrum 5G kepada DNB dan rangkaian 5G kedua, yang mungkin dimiliki oleh MNO yang tidak mengambil bahagian dalam DNB sebelum ini (Maxis dan U Mobile).

 

"Sekiranya kos spektrum dan liputan/kualiti keperluan perkhidmatan tidak terlalu menghukum, maka ia akan serupa dengan era pra-SWN, iaitu MNO terlibat secara komersial dalam perkongsian rangkaian aktif untuk mengurangkan kos pelancaran 5G," katanya.

 

Firma itu berkata, berdasarkan model DWN, setiap rangkaian 5G seharusnya memiliki kos sama tetapi secara keseluruhan, lebih mahal daripada model SWN.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan penarafan 'neutal' bagi sektor itu. - DagangNews.com