KUALA LUMPUR 23 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan FM Global Logistics Holdings Berhad merekodkan pendapatan lebih rendah bagi 2HFY23 kesan penurunan kadar tambang pengangkutan sejak 1QFY23.
Firma itu berkata, penurunan kadar tambang itu dilihat akan meningkatkan kadar persaingan dalam industri berkaitan yang membawa kepada margin keuntungan yang lebih rendah untuk kumpulan itu.
Firma itu berpendapat bahawa jumlah kargo akan bertambah baik kesan daripada peningkatan ketersediaan kapasiti kargo di seluruh dunia.
"Bagaimanapun kami percaya bahawa kumpulan itu berada di kedudukan terbaik dalam industri kargo global kerana menyediakan tawaran berkaitan pengangkutan pelbagai mod (darat, udara dan laut) merentasi lokasi geografi yang pelbagai.
"Kami juga menjangkakan peningkatan dalam perkhidmatan sokongannya dan segmen 3PL dan pengedaran memandangkan permintaan yang lebih tinggi daripada pelanggannya yang boleh mengimbangi kelemahan daripada segmen berkaitan pengangkutan (udara, darat dan laut)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Untung bersih FM Global Logistics meningkat 5.7% kepada RM11.45 juta pada 2QFY23
Firma itu berkata, hasil 2QFY23 menyusut 19% disebabkan oleh kadar tambang yang lebih rendah, terutamanya pengangkutan laut dan udara.
Bagaimanapun, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 2QFY23 meningkat 2.2% hasil sumbangan segmen yang lebih menguntungkan (perkhidmatan sokongan dan 3PL & pergudangan) dan skala ekonomi yang lebih baik.
"Kos faedah yang lebih tinggi dan kadar cukai membawa kepada penurunan sebanyak 6.6% dalam keuntungan bersih teras 2QFY23," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 65 sen sesaham. - DagangNews.com