CGS-CIMB jangka Sarawak Plantation catat penurunan pendapatan sesaham sebanyak 29% bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka Sarawak Plantation catat penurunan pendapatan sesaham sebanyak 29% bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan Sarawak Plantation merekodkan penurunan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 29% bagi FY23 selaras dengan unjuran purata minyak sawit mentah (MSM) yang lemah sebanyak RM3,800 bagi setiap tan. 

 

Firma itu berkata, keadaan itu akan menjadi lebih sukar dengan kenaikan kos bahan api serta tenaga kerja dan ia akan mengimbangi kesan pertumbuhan keluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 12%.

 

"Jangkaan pengeluaran BTS sebanyak 12% adalah berdasarkan pemulihan hasil ditambah dengan aliran hasil kawasan ladang yang lebih matang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) menyusut kepada RM96.21 juta daripada RM127.83 juta yang direkodkan pada FY21.

 

Hasil kumpulan itu juga menyusut kepada RM710.91 juta berbanding RM790.52 juta pada tahun sebelumnya.

 

Penyusutan untung bersih itu disebabkan keuntungan operasi yang lebih rendah ditambah pula dengan kerugian ke atas perubahan nilai saksama aset biologi sebanyak RM7.2 juta pada tahun kewangan semasa berbanding keuntungan sebanyak RM21.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Firma itu berkata, untung bersih 4QFY22 menyusut 60% kepada RM18 juta disebabkan oleh kejatuhan dalam harga jualan MSM.

 

Katanya, jumlah jualan yang lebih lemah disebabkan oleh pembelian BTS yang lebih lemah, mengimbangi pertumbuhan keluaran BTS sebanyak 5% pada 4QFY22.

 

"Keuntungan bersih teras 4Q jatuh 10% kepada RM20 juta, disebabkan terutamanya oleh penurunan harga MSM ditambah pula dengan kejatuhan 10% bermusim dalam pengeluaran BTS," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.22 sesaham. - DagangNews.com