CGS-CIMB : Pengecualian cukai jualan untungkan Bermaz Auto | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Pengecualian cukai jualan untungkan Bermaz Auto

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - Pengecualian cukai jualan dilihat memberi manfaat kepada Bermaz Auto Bhd. memandangkan syarikat itu merancang menyerap anggaran kenaikan 2 hingga 3% harga purata jualan bagi pendaftaran tempahan yang dibuat sebelum 30 Jun. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, ini juga secara tidak langsung membantu memacu pemulihan margin pengedaran kenderaan Mazda di Malaysia bagi tahun kewangan 2022. 

 

"Namun, kami menjangkakan jumlah jualan yang rendah bagi suku pertama berakhir 30 April 2022 disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan yang masih berterusan terutama di Selangor. 

 

"Pada masa sama, kilang Inokom masih belum beroperasi memandangkan Kedah berada dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagi suku pertama berakhir 30 April 2021, untung bersih Bermaz Auto meningkat kepada RM133.94 juta berbanding RM100.84 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan pada suku itu juga meningkat kepada RM2.29 bilion berbanding RM1.76 bilion dipacu jumlah jualan menerusi operasi di peringkat domestik meskipun sebagaian besarnya diimbangi oleh jumlah jualan yang rendah dari operasi di Filipina.

 

Mohd. Shanaz berkata, operasi Mazda menunjukkan margin peningkatan yang diimbangi dengan kenaikan perbelanjaan operasi (opex) yang tinggi.

 

Katanya, kumpulan menyasarkan 1,500 unit jualan bagi Kia dan Peugeot untuk tahun kewangan 2022 juga boleh dicapai memandangkan kumpulan merekodkan purata jualan masing-masing 4,000 dan 1,500 unit ketika tempoh pandemik. 

 

"Dengan pengalaman Bermaz memulihkan operasi Mazda di Malaysia, kami berpendapat fokus kumpulan untuk menambahbaik perkhidmatan selepas jualan bagi Kia dan Peugeot juga boleh dipercepatkan," tambahnya. 

 

CGS-CIMB bagaimanapun menyemak semula unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 kepada 5 hingga 6% mencerminkan jumlah jualan Mazda yang lebih rendah sekitar 15,200 hingga 15,500 unit.  

Selain itu, ia turut disumbangkan menerusi kapasiti operasi kilang Inokom yang rendah ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan Bermaz Auto akan merekodkan untung bersih bagi tahun kewangan 2021 hingg1 24 dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 11%," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Bermaz Auto dengan harga sasaran RM1.90. - DagangNews.com