CGS-CIMB positif terhadap prospek imbangan dagangan 2023 Malaysia | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB positif terhadap prospek imbangan dagangan 2023 Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 April - CGS-CIMB Research kekal positif terhadap prospek imbangan dagangan 2023 Malaysia walaupun terdapat jangkaan bahawa hasil eksport dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa bulan.

 

Firma itu berkata, asas yang tinggi mungkin terus memainkan peranan dalam prestasi perdagangan nominal, mengekalkan pertumbuhan eksport selain permintaan global yang lemah.

 

"Bagaimanapun, lebihan dagangan kekal besar dan kami percaya ia akan terus menyokong unjuran semasa kami sebanyak 2.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2023F (2022: 2.6%). 

 

"Secara keseluruhan, kami mengekalkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4% pada tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, prestasi dagangan Malaysia merosot bagi Mac 2023, dengan perdagangan susut 1.6% kepada RM232.72 bilion, eksport merosot 1.4% kepada RM129.71 bilion dan import berkurangan 1.8% kepada RM103.01 bilion.

 

Lebihan dagangan Malaysia, bagaimanapun, meningkat kepada RM26.69 bilion berbanding Mac 2022.

 

BACA JUGA: Dagangan Malaysia bagi Mac merosot 1.6% kepada RM232.72 bilion - Matrade

 

Firma itu berkata, sebahagian besar penguncupan itu sebahagian besarnya didorong oleh asas yang tinggi kerana Mac 2022 bermulanya perang Rusia-Ukraine yang meningkatkan harga komoditi dan menyokong nilai eksport komoditi Malaysia.

 

Katanya, eksport barangan perkilangan, yang membentuk 84% daripada jumlah eksport pada Mac, menyusut sebanyak 0.4% pada Mac (23 Feb: +9.5%) manakala eksport barangan perlombongan turun sebanyak 3.5%.

 

"Sementara itu, eksport barangan pertanian merosot sebanyak 10.8% menjadikan penguncupan berterusan selama enam bulan," katanya. - DagangNews.com