KUALA LUMPUR 12 Jan - CGS-CIMB Research positif terhadap prospek InNature Berhad didorong oleh pemulihan permintaan terhadap produk penjagaan diri, suasana operasi yang lebih baik dan perkembangan cawangan baharu.
Firma itu berkata, pemulihan permintaan dilihat positif terutama dengan kehadiran pelancong di tiga negara operasi kumpulan itu iaitu Malaysia, Vietnam dan Kemboja.
Katanya, kehadiran pelancong dari China sangat membantu kerana berdasarkan rekod, mereka menyumbang antara 10% hingga 15% hasil keseluruhan kumpulan itu.
"Kami juga menjangkakan jualan akan mendapat manfaat daripada peningkatan penggunaan barangan kecantikan dan penjagaan diri (lebih banyak interaksi fizikal dan perjalanan), penyambungan semula pengembangan kedai dan inisiatif pemasaran yang agresif dari 4QFY22F dan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu telah menaikkan harga produk secara beransur-ansur secara purata sebanyak 15% melalui pelancaran produk baharu sejak 4QFY21.
Bagaimanapun, margin keuntungannya telah menurun dalam tiga suku yang lalu disebabkan peningkatan kos input sepanjang 2021 hingga 1QFY22.
Firma itu berkata, sejak 2QFY22, persekitaran operasi menjadi lebih baik dengan pengukuhan ringgit berbanding pound dan penurunan kos pengangkutan.
"Kami menjangkakan margin keuntungan meningkat selepas mengambil kira semua faktor termasuk tawaran produk baharu seperti wangiang, siri penjagaan kulit dan kesihatan," katanya.
Firma itu menyemak naik penarafan kumpulan itu kepada 'beli' daripada 'pegang' dengan harga sasaran 80 sen sesaham. - DagangNews.com