Sarawak kini pemegang saham terbesar Affin Bank dengan 31.25% kepentingan | DagangNews Skip to main content

Sarawak kini pemegang saham terbesar Affin Bank dengan 31.25% kepentingan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - Kerajaan negeri Sarawak kini merupakan pemegang saham terbesar kumpulan perbankan Affin Bank Bhd, selepas menyempurnakan perjanjian dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi pengambilalihan 165.05 juta saham atau 6.87% dalam bank itu.

 

Bersama-sama dengan 20.08% kepentingan yang telah diperoleh oleh unitnya SG Assetfin Holdings Sdn Bhd (SAH) daripada Boustead Holdings Bhd, kerajaan Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama di Malaysia yang memiliki pegangan terbesar dalam sebuah bank selepas perjanjian LTAT selesai.

 

Pegangan saham LTAT dalam Affin dikurangkan kepada 22.01%, daripada 28.88% pada 27 September 2024, manakala pegangan saham SAH meningkat kepada 31.25%, daripada 4.81%. 

 

Sementara itu, Boustead telah melupuskan semua pegangannya dalam Affin, berbanding 20.08% sebelum ini.

 

Pada September lalu, kerajaan negeri Sarawak mengumumkan ia akan, melalui SAH, memperoleh 634.7 juta saham Affin, atau 26% kepentingan, daripada LTAT dan Boustead. Bagaimanapun, ia tidak mendedahkan berapa harga pegangan itu akan dibeli.

 

Pengumuman pelupusan kepentingan oleh Boustead dan LTAT dibuat selepas kira-kira 647.13 juta saham dalam Affin, mewakili 26.96% kepentingan, didagangkan di luar pasaran pada Isnin.

 

Data Bloomberg menunjukkan, saham itu dijual dalam lapan peringkat pada harga RM1.78 bilion. Ia dijual pada harga antara RM2.46 dan RM2.84 sesaham, mewakili diskaun antara 17% dan 4.05% berbanding harga penutup terakhir Affin sebanyak RM2.96 dalam pasaran terbuka pada Isnin.

 

Bagaimanapun, tiada butiran lain didedahkan.

 

Semasa mengumumkan pengambilalihan yang dirancang pada September selepas mendapat kelulusan bersyarat Bank Negara Malaysia (BNM) bagi perjanjian itu pada Jun, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan Sarawak untuk melabur dalam Affin didorong oleh keperluan untuk mengambil langkah strategik untuk mewujudkan platform kewangan dan sinergi dengan bank yang kukuh dan berwibawa, yang penting bagi negeri untuk meningkatkan potensi ekonominya.

 

“Dengan memanfaatkan rangkaian dan kepakaran luas Affin, kami akan bekerjasama untuk membuka peluang baharu, memudahkan akses kepada modal dan menyemarakkan semangat keusahawanan warga kami. 

 

"Bersama-sama, kita akan membina ekosistem kewangan yang memupuk inovasi, menggalakkan celik kewangan dan memperkasakan celik kewangan dan membolehkan komuniti kita mencapai aspirasi mereka,” katanya ketika itu.- DagangNews.com