KUALA LUMPUR 15 Sept - CGS-CIMB Research menjangkakan Eco World International Berhad catat kerugian pada FY22 hingga FY24 berbanding keuntungan pada FY21 akibat kekurangan penyerahan projek, kelewatan pelancaran projek baharu serta projek bina dan sewa.
Firma itu berkata, jualan projek baharu hanya akan memberi sumbangan kepada hasil kumpulan itu bermula FY25.
Katanya, sehingga kini kumpulan itu hanya melancarkan satu projek baharu iaitu New Triangle Road dengan nilai pembangunan kasar (GDV) £51 juta (RM266.18 juta) yang dijual melalui perjanjian en-bloc pada 22 Ogos 2022 dan dijangka siap menjelang FY22.
"Kumpulan itu mungkin akan menangguhkan pelancaran beberapa projek baharu yang dirancang untuk FY22 (Woking £350 juta (RM1.82 bilion), Oxbow £120 juta (RM626.31 juta)) dan Kew Bridge £240 juta (RM1.25 bilion) kepada FY23 dengan pihak pengurusan sedang meninjau semula daya maju projek berikutan peningkatan kos pembinaan.
"Bagaimanapun tiada sebarang perkembangan mengenai projek baharu bina untuk sewa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian RM56.68 juta pada suku ketiga berakhir 31 Julai 2022 berbanding untung bersih RM2.49 juta pada suku sama tahun lalu kesan daripada sumbangan yang rendah daripada projek di Australia.
Prestasi buruk itu juga disumbangkan oleh kerugian kerjasama disebabkan semakan semula margin keuntungan projek bina untuk sewa di London hasil daripada program pembinaan lanjutan.
Hasil suku tahunan susut 72.86% kepada RM34.5 juta daripada RM127.13 juta pada 3QFY21 disebabkan oleh kurang bilangan unit yang dijual diserahkan kepada pelanggan kerana majoritinya telah diserahkan pada tahun lalu.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 35 sen berbanding 38 sen sebelum ini. - DagangNews.com