CGS-CIMB saran ‘kurangkan’ saham Duopharma | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘kurangkan’ saham Duopharma

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos – CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) mengekalkan saranan untuk ‘kurangkan’ saham Duopharma Biotech Berhad (Duopharma) dengan harga sasaran RM2.15.

"Walaupun Duopharma menunjukkan prospek positif, namun kami berpendapat harga sahamnya mengatasi nilai asas (fundamental),“ jelas laporan CGS-CIMB.

Susulan penularan COVID-19, Duopharma berdepan dengan permintaan tinggi dalam kesemua segmen bisnesnya pada separuh pertama 2020.

Sektor bisnes kerajaannya yang menyumbang 48% kepada jualan keseluruhan menyaksikan peningkatan pada bulan April memandangkan hospital kerajaan melanggan lebih banyak dos perubatan untuk mengurangkan kekerapan kunjungan pesakit bukan COVID-19.

Bagaimanapun, permintaan itu menurun pada Mei dan Jun.

Berhubung peranan Duopharma dalam pengisian dan pembotolan vaksin COVID-19, pihaknya telah mempunyai kemudahan yang tersedia di Klang, Selangor.

“Walaupun kemudahan itu telah tersedia dan disahkan bagi tujuan bungkusan vaksin meningitis, namun kami percaya kemudahan itu perlu disahkan semula bagi vaksin COVID-19.

“Dalam pada itu, dengan lanjutan tempoh kontrak untuk membekalkan ubat kepada kemudahan Kementerian Kesihatan sehingga penghujung tahun kewangan 2021 serta lanjutan pembekalan formula insulin manusia sehingga hujung tahun ini, kami melihat sektor bisnes kerajaannya akan kekal stabil,” tambah CGS-CIMB.

Duopharma juga berjaya mendapatkan tender tiga tahun bernilai RM37.7 juta untuk membekalkan erythropoietin (EPO) biosimilar kepada kerajaan. - DagangNews.com