Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Sejauh mana Star Media Group Berhad (Star Media) mampu ‘menanggung’ saluran penstriman digital miliknya, dimsum?
Star Media sebelum ini melaporkan dimsum sebagai salah satu pemacu pertumbuhan syarikat pada masa akan datang, sebaliknya saluran digital itu mencatatkan kerugian bersih tahunan bernilai RM22.6 juta hingga RM29.2 juta pada tempoh 2017 hingga 2019.
Kerugian itu secara langsung telah merosotkan keuntungan bersih Star Media antara RM5.7 juta hingga RM61.8 juta pada tempoh sama.
“Star Media telah melabur sebanyak RM55 juta dalam SMG Entertainment (anak syarikat yang mengendalikan dimsum) dan mendahulukan RM47.3 juta yang kami lihat mungkin tidak dapat dibayar dalam masa terdekat.
“Kecuali, Star Media mempunyai kaedah dan sanggup untuk melabur lebih banyak bagi mendapatkan pelanggan (subscriber) dalam ruangan striming yang sangat berdaya saing ini. Kami fikir adalah lebih baik Star Media tutup dimsum.
“Sekiranya berbuat demikian (tutup dimsum), ia akan mengelakkan kerugian yang ditanggung sebanyak RM17.2 juta hingga RM26.2 juta pada tahun kewangan 2021 hingga 2022,” jelas analisis CGS-CIMB Research.
dimsum telah dilancarkan pada tahun 2016 di bawah pengendalian SMG Entertainment sebagai aspirasi Star Media untuk menembusi media digital hiburan yang menawarkan kandungan dari negara-negara Asia termasuk Thailand, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Malaysia dan Singapura.
Susulan kekurangan langganan, hanya RM865,064 atau 24.9% hasil (daripada jumlah hasil RM3.5 juta) yang berjaya diraih daripada segmen langganan pada tahun kewangan 2019.
Hasil iklan bagi tempoh sama pula hanya mencatatkan jumlah RM802,741 dengan 48% daripada jualan ditanggung Star Media.
Jelas CGS-CIMB, hasil yang lemah diraih SMG Entertainment tidak menjadikannya sesuatu yang menarik untuk pelaburan strategik.
“Berdasarkan dasar kos tahun kewangan 2019, SMG Entertainment perlu menghasilkan RM15.4 juta hasil untuk melepasi paras pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).
“Menurut akaun yang diaudit SMG Entertainment pada tahun kewangan 2019, syarikat itu mencatatkan hasil sebanyak RM3.5 juta, manakala perbelanjaan operasi pula menelan sebanyak RM14.8 juta,” tambah CGS-CIMB.
Bagaimanapun, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Star Media didorong hartanah dan wang tunai bersihnya yang besar dengan harga sasaran (TP) RM0.52. - DagangNews.com