CGS-CIMB semak naik penarafan Wellcall kepada 'tambah' disokong peningkatan permintaan terhadap hos industri | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB semak naik penarafan Wellcall kepada 'tambah' disokong peningkatan permintaan terhadap hos industri

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - CGS CIMB Research menyemak naik penarafan Wellcall Holdings Berhad daripada 'pegang' kepada 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.46 berdasarkan kepada pemulihan permintaan global untuk hos industri.

 

Firma itu berkata, saranan itu juga dibuat berdasarkan kepada faktor penurunan nilai ringgit selain harga getah yang rendah di pasaran yang secara tidak langsung memberi impak yang baik kepada kumpulan.

 

Firma itu positif dengan prospek kumpulan memandangkan permintaan daripada pelanggan semakin meningkat untuk pasaran eksport disokong oleh pengeluaran yang tinggi daripada kehadiran tenaga kerja yang lebih baik.

 

"Kami menjangkakan kumpulan ini akan menikmati persekitaran operasi yang lebih baik selain perkembangan margin keuntungan yang lebih positif daripada ringgit dan tiada lagi kekangan penghantaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung kumpulan itu melonjak sebayak 34.2% kepada RM10.78 juta bagi 3QFY22 kesan daripada peningkatan permintaan untuk hos industri di perinkat global.

 

Hasil kumpulan itu juga meningkat sebanyak 10% kepada RM47.13 juta bagi suku berkenaan berbanding RM42.96 pada suku sama tahun lalu selain mencatatkan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak RM2.16 atau 34.3% lebih tinggi pada 3QFY21.

 

Hos industri tersebut merupakan tiub yang dibuat daripada getah serta beberapa bahan untuk menyalurkan cecair atau gas. 

 

hos

 

Firma itu menjangkakan Wellcall akan mencatatkan perkembangan margin keuntungan pada 4QFY22 disokong oleh persekitaran operasi semasa yang lebih baik terutamanya penurunan nilai ringgit dan penurunan harga bahan mentah antara 55% hingga 65%.

 

Selain itu kata, firma itu positif dengan usaha kumpulan itu untuk meningkatkan harga jualan bermula pada 2QFY22.

 

"Kami juga mengunjurkan kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada skala ekonomi yang baik selepas mengambil kira pertambahan pengeluaran," katanya. - DagangNews.com