KUALA LUMPUR 16 Jan - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada 'pegang' pada harga sasaran (TP) RM7.34 selepas mengambil kira pelbagai risiko termasuk kemelesetan global yang akan mengurangkan kesediaan pelancong untuk berbelanja.
Firma itu juga menjangkakan operasi kumpulan itu akan mencatatkan peningkatan 27% kos utiliti untuk 1HFY23 kesan daripada penggunaan yang tinggi.
Selain penggunaan yang tinggi, ia juga didorong oleh peningkatan tarif elektrik sebanyak 40% (tarif elektrik itu juga dilanjutkan hingga 2HFY23).
"Pada masa sama kami menjangkakan pemulihan yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam aliran dua hala antara Malaysia dan China selain pemulihan dalam aliran pekerja asing dari Indonesia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, seperti dijangka, pembukaan semula sempadan China akan mendorong kenaikan harga saham kumpulan berikutan keyakinan terhadap pemulihan yang turut merangsang jualan bebas cukainya.
Firma itu berkata, faktor yang memperlahankan pemulihan trafik udara Malaysia mungkin disebabkan tambang yang lebih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik COVID-19.
Katanya, tekanan kos sara hidup yang mungkin telah mengurangkan permintaan perjalanan udara, isu antara kerajaan (G2G) yang memberi kesukaran kepada syarikat Malaysia untuk mendapatkan tenaga kerja asing dari Indonesia.
"Walaupun China telah membuka semula sempadannya, kami menjangkakan aliran pelancong hanya akan meningkat dengan ketara hanya mulai Mac 2023 dan seterusnya kerana pasport mungkin telah tamat tempoh dan syarikat penerbangan meminta pelepasan kawal selia untuk memulakan semula penerbangan," katanya. - DagangNews.com