CGS-CIMB unjur TIV lebih rendah sebanyak 665,000 unit pada 2023 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur TIV lebih rendah sebanyak 665,000 unit pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - CGS-CIMB Research kekal dengan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 665,000 unit pada 2023 (berbanding 720,000 unit pada 2022) disebabkan tamatnya penangguhan SST bermula April ini selain tekanan makroekonomi.

 

Firma itu berkata, TIV akan menjadi tinggi pada Mac apabila pembuat kereta berusaha untuk memenuhi tempahan tertunggak dan menjangkakan keadaan itu akan menjadi lebih lemah pada bulan-bulan berikutnya.

 

Bagimanapun, firma itu berkata, kereta jenama nasional akan merekodkan keputusan lebih baik berbanding segmen bukan nasional pada tahun ini.

 

"Sebagai contoh, Perodua dan Proton menyasarkan pertumbuhan jumlah jualan 11% dan 8% pada 2023 berikutan pesanan tertunggak yang tinggi dari 2022 dan pelancaran baharu, seperti Axia dan Proton X90.

 

"Sementara itu UMW-Toyota telah menetapkan sasaran jumlah jualan yang lebih rendah sebanyak 93,000 unit, manakala Honda mengunjurkan jualan mendatar sebanyak 80,000 pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata,  pengukuhan ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini akan membantu mengurangkan kesan daripada unjuran jumlah jualan yang lebih rendah pada tahun ini.

 

“Kami mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor ini.

 

"Bermaz Auto Berhad adalah pilihan utama kami untuk hasil dividen 6.7% yang menarik untuk 2023-2024 dan meluaskan bahagian pasaran, dengan penambahan jenama Kia dan Peugeot," katanya. - DagangNews.com