CGS-CIMB unjur untung bersih teras bank meningkat 17.8% pada 2023 didorong ketiadaan Cukai Makmur | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur untung bersih teras bank meningkat 17.8% pada 2023 didorong ketiadaan Cukai Makmur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mac - CGS-CIMB Research mengunjurkan pertumbuhan untung teras bersih yang lebih kukuh sebanyak 17.8% untuk sektor bank pada 2023 didorong oleh ketiadaan Cukai Makmur.

 

Firma itu juga mengunjurkan pertumbuhan 13.9% bagi pendapatan bukan faedah untuk tahun ini (berbanding penurunan 1.5% pada 2022) kesan daripada normalisasi pendapatan pelaburan.

 

"Kami menjangkakan dua cabaran untuk bank pada suku pertama 2023 iaitu potensi pemampatan qoq dalam margin faedah bersih (NIM) disebabkan kenaikan harga semula kadar deposit tetap dan kos operasi lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan pertumbuhan positif dalam untung bersih teras suku pertama 2023 bank antara 9% hingga 11% disokong oleh ketiadaan Cukai Makmur dan pendapatan bukan faedah yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, tahun lalu bukan tempoh terbaik buat bank kerana berdepan kadar cukai tinggi kesan Cukai Makmur membuatkan untung bersih teras mereka menyusut sebanyak 7%.

 

Perkara itu membuatkan firma itu bimbang terhadap kemerosotan untung bersih teras pada 2022.

 

Bagaimanapun, bank berjaya menghasilkan pertumbuhan sebanyak 4.4% pada 2022 (berdasarkan unjuran yang dibuat lapan bank Malaysia di bawah liputan firma itu) yang lebih tinggi daripada kadar unjuran kami sebanyak 2.8%.

 

Firma itu mengekalkan 'saranan' overweight' terhadap sektor itu.

 

"Kami menjangkakan kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB) hanya memberi impak minima pendapatan bank-bank Malaysia berikutan pendedahan yang minimum kepada Amerika Syarikat (AS)," katanya. - DagangNews.com