KUALA LUMPUR 21 Ogos - CGS International meramalkan untung bersih Kontra Industries Bhd terus menyusut pada FY25 kesan normalisasi kadar cukai sebelum kembali bangkit pada FY26.
Katanya, jualan domestik 4QFY24 susut 4.1% dari tahun ke tahun disebabkan jualan produk farmaseutikal yang lebih rendah tetapi berjaya diimbangi sedikit peningkatan jualan untuk produk makanan tambahan.
Firma penyelidikan itu berkata, dari suku tahun ke suku tahun, jualan domestik meningkat sedikit kepada 3.6% pada 4QFY24 dengan kumpulan itu melihat peningkatan untuk produk makanan tambahannya.
Jualan eksport 4QFY24 meningkat 38.7% berkemungkinan daripada usahanya untuk melancarkan produk baharu dan meningkatkan kehadirannya dalam pasaran sedia ada, terutamanya ASEAN dan Afrika.
"Kadar cukai efektif Kotra adalah pada 25.6% pada 4QFY24, menjadikan kadar cukai berkesan setahun penuh kepada 21% (FY23: 1.3%).
"Kami menjangkakan kadar cukai efektif tahunan kumpulan kembali normal kepada 15% menjelang FY26 kerana Kotra menggunakan sepenuhnya baki aset cukai tertundanya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih FY24 Kotra Industries susut kepada RM44.6 juta kesan kekurangan bekalan pelbagai bekalan bahan khusus
Terdahulu, hasil kumpulan pada FY24 juga susut kepada RM226.6 juta berbanding RM242.2 juta.
Untung bersih pada 4QFY24 juga menyusut kepada RM12.5 juta berbanding RM13.1 juta, bagaimanapun hasil bagi suku berkenaan meningkat kepada RM59.8 juta berbanding RM55.8 juta pada 4QFY23.
CGS International berkata, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk permintaan lemah berterusan untuk produknya yang membawa kepada pendapatan yang lebih lemah, dan peningkatan dalam kadar cukai berkesan.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'kurang' dengan harga sasaran RM3.70 sesaham kerana tidak melihat sebarang pemangkin ketara dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi melonjakkan untung bersih kumpulan itu.- DagangNews.com