CGS International turunkan ramalan pendapatan teras FY25 Power Root sebanyak 14.7% kesan kelemahan pasaran Asia Barat | DagangNews Skip to main content

CGS International turunkan ramalan pendapatan teras FY25 Power Root sebanyak 14.7% kesan kelemahan pasaran Asia Barat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - CGS International menurunkan ramalan pendapatan teras Power Root Bhd sebanyak 14.7% bagi FY25 kesan kelemahan prestasi di pasaran Asia Barat.

 

Katanya, kelemahan diburukkan lagi dengan kenaikan harga bahan mentah dan kos tenaga kerja.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan bagi pasaran domestik dijangka berkembang pesat, tetapi pasaran eksport khususnya di Asia Barat kekal membimbangkan dengan unjuran menunjukkan jualan mendatar bagi FY25 walaupun berlaku pelarasan harga. 

 

"Kumpulan itu berjaya melindungi harga bahan mentah sehingga Ogos 2025, tetapi kos kekal meningkat berbanding sebelum ini.

 

"Bagaimanapun, Power Root dijangka mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 8% sepanjang FY24 hingga FY27, didorong pertumbuhan hasil domestik yang kukuh dan kos input yang stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International percaya, hala tuju dasar yang lebih baik oleh kerajaan akan menjadi positif untuk pertumbuhan ekonomi pada 2024 dengan mereka meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini sebanyak 5.2% dan pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak 6.9%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya melihat pemacu utama untuk sentimen dan perbelanjaan pengguna dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang daripada pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang fleksibel.

 

Selain itu, ia dipacu kenaikan gaji kakitangan awam sekurang-kurangnya 13% pada 2025 dan pemberian tunai bulanan yang lebih tinggi kepada isi rumah berpendapatan rendah.

 

"Ketiga-tiga pendekatan itu dilihat akan menyokong permintaan domestik untuk produk Power Root," katanya.

 

CGS International menurunkan penarafan kumpulan kepada 'pegang' berbanding 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.45 sesaham.- DagangNews.com