Chin Hin Group Property bakal miliki 45% kepentingan Aima | DagangNews Skip to main content

Chin Hin Group Property bakal miliki 45% kepentingan Aima

DARI kiri, Khor Ooi Min, Khor Ken Yeon, Chiau Haw Choon dan Chiau Beng Teik pada majlis menandatangani perjanjian pembelian saham antara Aima dan CHGP. 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mac – Syarikat pemaju hartanah, Chin Hin Group Property Berhad (CHGP) bakal mengambil alih 45% atau 450,000 kepentingan dalam Aima Construction Sdn. Bhd. (Aima), sebagai sebahagian daripada langkahnya untuk menembusi industri pembinaan.

 

Menerusi makluman di Bursa Malaysia semalam, CHGP telah menandatangani perjanjian pembelian saham dengan syarikat induk Aima, Uniplaza Sdn. Bhd. dengan nilai RM31.5 juta.

 

Pembelian saham biasa oleh CHGP akan dilaksanakan menerusi peruntukan dan penerbitan sehingga 35,795,400 saham biasa baharu dalam CHGP pada harga terbitan RM0.88 Sesaham Balasan (Consideration Share).

 

Jika tiada sebarang masalah, pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun 2021, jelas CHGP.

 

Pengarah Eksekutif CHGP, Chiau Haw Choon dalam sebuah kenyataan hari ini berkata, susulan daripada Cadangan Pengambilalihan itu, Aima akan menjadi syarikat bersekutu CHGP, secara tidak langsung membolehkan mereka terlibat dalam projek yang sedang atau akan dijalankan oleh syarikat itu.

 

“Dalam pada itu, ini juga akan mempercepatkan perancangan pengembangan CHGP tanpa perbelanjaan tunai awal memandangkan pengambilalihan berkenaan akan sepenuhnya diselesaikan menerusi peruntukan dan penerbitan Saham Balasan.

 

“Pada dasarnya, tujuan kami adalah untuk mengubah CHGP menjadi pemain utama hartanah dan pembinaan - oleh itu langkah korporat ini sesuai dengan strategi kami dengan sempurna,” katanya.

 

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disertai oleh Pengerusi Aima, Khor Ooi Min dan Pengerusi CHGP, Datuk Seri Chiau Beng Teik.

 

Untuk rekod, Aima mempunyai rekod prestasi yang memberangsangkan selama lebih tiga dekad terutamanya dalam kerja-kerja pembinaan untuk hartanah bertingkat dan bertanah, menyelesaikan projek bernilai kira-kira RM1.7 bilion sejak penubuhannya.

 

Syarikat itu juga merupakan kontraktor Gred 7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan pada dasarnya menjalankan perniagaan pembinaan, kontraktor dan subkontraktor.

 

Jumlah buku pesanannya setakat ini bernilai RM320 juta.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Aima, Khor Ken Yeon berkata, pengambilalihan kepentingan oleh CHGP dalam Aima dijangka mewujudkan keuntungan yang bersinergi memandangkan kedua-duanya berkecimpung dalam industri sama iaitu pembangunan hartanah dan pembinaan.

 

“Terutama berkaitan dengan rancangan CHGP untuk melancarkan projek bernilai RM3.73 bilion pada tahun-tahun mendatang, kami dapat melihat penyertaan ini signifikan kerana kerja-kerja pembinaan hartanah telah menjadi kekuatan kami selama beberapa dekad,” ujarnya.

 

Setakat 12.30 tengah hari, nilai saham CHGP menyusut 0.54% daripada RM0.930 kepada RM0.925. – DagangNews.com