CIIF lancar biasiswa dan dermasiswa untuk program kewangan Islam | DagangNews Skip to main content

CIIF lancar biasiswa dan dermasiswa untuk program kewangan Islam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF) hari ini mengumumkan pelancaran Program Biasiswa dan Dermasiswa untuk Program Profesional Bertauliah di dalam Kewangan Islam (CPIF), ditawarkan kepada calon-calon yang mempunyai kelayakan.

 

Program ini turut disokong oleh FWD Takaful untuk tahun yang kedua dengan objektif mengasah bakat-bakat muda dan melahirkan bakal pemimpin yang berkaliber di dalam bidang kewangan Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIIF, Dr. Azura Othman berkata, institusi itu sangat komited dan sering berusaha untuk membangunkan serta mempraktikkan strategi-strategi yang sesuai supaya mereka dapat menawarkan kemudahan dan ilmu yang terbaik kepada ahli-ahli profesional.

 

“Kemahiran pengamal-pengamal industri perlu selaras dengan kehendak dan perkembangan industri untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat.

 

Azura Othman
Azura Othman

 

“Bagi pihak CIIF, saya menggalakkan kepada graduan-graduan yang layak untuk menghantar permohonan bagi Biasiswa dan Dermasiswa CPIF untuk membantu mereka dalam usaha menaik taraf industri kewangan Islam dan mempertingkatkan status kerjaya mereka di dalam industri ini,” kata Azura dalam satu kenyataan.

 

Graduan yang mempunyai latar belakang akademik cemerlang boleh memohon biasiswa CPIF dan seterusnya menyertai program CPIF (Takaful), manakala graduan daripada keluarga yang berpendapatan rendah pula boleh memohon dermasiswa CPIF untuk program yang sama.

 

Kewujudan bantuan kewangan ini diharapkan dapat membantu untuk menambah lebih ramai ahli-ahli profesional baharu yang berbakat di dalam sektor takaful dan permohonan telah pun dibuka sehingga 31 Julai 2021.

 

Pada Januari 2021, CIIF telah melancarkan CPIF, iaitu program perdana di bawah CIIF yang ditawarkan kepada ahli-ahli industri dan sesiapa sahaja yang beraspirasi untuk memperolehi pengetahuan mendalam di dalam bidang kewangan Islam.

 

Program CPIF merupakan kelayakan profesional yang dibangunkan khas bertujuan melatih calon-calon dan membekalkan mereka dengan ilmu yang merangkumi subjek seperti Syariah, Penstrukturan Produk, Pengurusan Risiko di dalam Perusahaan, Pengurusan Strategik, Perundangan dan Pentadbiran serta Pengauditan dan Kepatuhan.

 

Pematuhan terhadap Kod Etika dan Standard Tata Laku Profesional CIIF merupakan elemen penting di dalam program CPIF, justeru memberi kelebihan kepada ahli CIIF.

 

Selain daripada menawarkan pendidikan profesional, CIIF juga mengetengahkan kepentingan standard amalan dan kod etika di dalam kewangan Islam untuk memastikan khidmat profesional dan produk kewangan Islam yang disampaikan mempunyai kualiti yang tertinggi.

 

Untuk maklumat lanjut tentang Program Biasiswa dan Dermasiswa CPIF, sila layari https://cpifscholarshipbursary.ciif-global.org/ . - DagangNews.com