CIMB diramal catat untung bersih lebih baik pada separuh pertama 2024, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

CIMB diramal catat untung bersih lebih baik pada separuh pertama 2024, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - RHB Investment menjangkakan CIMB Group Holding Bhd mencatatkan untung bersih lebih baik pada separuh pertama 2024 sekali gus memenuhi unjuran.

 

Katanya, permintaan pinjaman secara amnya positif merentas segmen tetapi kumpulan itu kekal berdisiplin dalam penetapan harga pinjaman.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bank berpendapat tema seperti pusat data, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pelancaran inisiatif di bawah pelbagai pelan induk memberi kesan positif kepada permintaan pinjaman pada masa hadapan.

 

"Buat masa ini, mereka mengekalkan pertumbuhan pinjaman kumpulan antara 5% hingga 7% bagi 2024.

 

"Walaupun ia mungkin mengecualikan pemberian pinjaman untuk mengekalkan margin faedah bersih (NIM), mereka tetap menumpukan pada aspek hubungan lain seperti CASA, pasaran perbendaharaan, tukaran mata wang asing dan sebagainya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, usaha awal bagi menurunkan kos deposit terus positif untuk mengekalkan NIM pada suku kedua.

 

Katanya, persaingan deposit dilihat stabil, tetapi ia juga membawa maksud mungkin tidak ada terlalu banyak ruang untuk pemotongan kadar deposit selanjutnya pada masa hadapan.

 

"Pendapatan bukan faedah (NOII) berkemungkinan perlahan daripada suku tahun ke suku tahun kerana pendapatan dagangan dan tukaran mata wang asing berkurangan daripada paras tertinggi pada suku pertama tahun ini.

 

"Keuntungan daripada jualan pinjaman tidak berbayar (NPL) juga dijangka lemah tetapi pendapatan yuran akan kekal sihat didorong pengurusan kekayaan serta yuran perbankan komersial daripada pengeluaran pinjaman," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM8.00 sesaham berbanding RM7.60.- DagangNews.com