KUALA LUMPUR 12 Sept - CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menyumbang sebanyak RM520,000 untuk menubuhkan kemudahan penginapan sementara, Rumah Rakyat CIMB Islamic yang terletak di sekitar Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah.
Kemudahan penginapan sementara tersebut adalah bertujuan untuk meringankan beban keluarga golongan B40 yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Berpandukan nilai intrinsik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat setempat, inisiatif strategik ini telah dijayakan dengan kerjasama hospital tersebut dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah di bawah naungan Kementerian Kesihatan.
Majlis menandatangani untuk merasmikan permulaan inisiatif strategik pemerkasaan komuniti ini telah diadakan di Langkawi baru-baru ini dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff dan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo.
Dalam usaha untuk menyediakan penduduk tempatan dengan kemudahan penginapan sementara yang selesa dan selamat, penubuhan Rumah Rakyat CIMB Islamic adalah bertujuan untuk memberi bantuan kepada golongan B40 yang tinggal di Langkawi dan pulau-pulau sekeliling.
Rumah Rakyat CIMB Islamic ini berfungsi sebagai kemudahan penginapan sementara untuk saudara-mara bagi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital yang perlu menempuh jarak perjalanan yang jauh.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif ini, Ahmad Shahriman berkata, mereka berbesar hati kerana berpeluang untuk membantu dan memberi impak bermakna kepada golongan memerlukan melalui kerjasama dengan rakan-rakan kongsi dalam menjayakan penubuhan Rumah Rakyat CIMB Islamic yang sudah lama dinanti-nantikan.
"Kami berharap agar sumbangan kami ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban untuk mereka yang memerlukan yang datang dari sekitar Langkawi dan pulau-pulau disekelilingnya.
"Kami akan terus menyokong insiatif-inisiatif yang memacu ke arah impak positif demi penambahbaikan alam sekitar, komuniti setempat dan juga ekonomi secara menyeluruh, sejajar dengan dasar kewangan pengantaraan berasaskan nilai dan proposisi jenama baharu CIMB Group, ‘Melangkah Ke Hadapan Bersama',” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Othman pula berkata, Hospital Sultanah Maliha merupakan satu-satunya hospital yang terletak di Langkawi dan ia menjadi hospital rujukan utama bagi penduduk Langkawi serta pelancong-pelancong untuk mendapatkan rawatan.
"Oleh itu, penubuhan Rumah Rakyat CIMB Islamic adalah berkat sumbangan ikhlas CIMB Islamic yang sememangnya tepat pada masanya dan amat diperlukan untuk menampung masyarakat setempat.
"Inisiatif ini adalah selaras dengan usaha berterusan kami demi membantu meringankan beban dan meningkatkan mutu kehidupan golongan yang memerlukan. Bagi pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada CIMB Islamic atas sumbangan dan sokongan mereka terhadap penubuhan Rumah Rakyat CIMB Islamic," katanya. - DagangNews.com