CIMB komited realisasi pelan strategik Forward23+ bagi menyampaikan pulangan kewangan mampan untuk semua pihak berkepentingan | DagangNews Skip to main content

CIMB komited realisasi pelan strategik Forward23+ bagi menyampaikan pulangan kewangan mampan untuk semua pihak berkepentingan

Pengerusi CIMB, Datuk Mohd. Nasir Ahmad (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-66 yang diadakan secara maya, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - Lembaga Pengarah CIMB Group Holdings Berhad komited dalam memastikan kumpulan itu merealisasikan pelan strategik Forward23+ bagi menyampaikan pulangan kewangan mampan selain mencipta nilai bersama untuk semua pihak berkepentingan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Abdul Rahmad Ahmad berkata, bersama dengan sasaran kewangan, kumpulan itu telah mempercepatkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentas perniagaan dan membuat kemajuan ke arah mencapai cita-citanya untuk menjadi peneraju kemampanan ASEAN menjelang 2024.

 

Beliau berkata, ketika mula merumuskan Pelan Strategik Forward23+ pada 2020, ia bertujuan untuk mewujudkan nilai pemegang saham yang mampan melalui penambahbaikan bermakna kepada pulangan ke atas ekuiti (ROE) tahunan kumpulan.

 

Katanya, dengan baki dua tahun lagi, strategi kumpulan mencapai kemajuan positif dengan momentum yang kukuh ke arah menyampaikan cita-cita Forward23+  untuk menjadi bank ASEAN terkemuka menjelang 2024.

 

"Pada 2023, kumpulan akan memberi fokus kepada pengembangan segmen sasaran, terutamanya perniagaan pengurusan kekayaan dengan tumpuan khusus untuk mengembangkan deposit dan francais akaun semasa dan akaun simpanan (CASA), perbankan transaksi dan perniagaan rangkaian ASEAN.

 

“Selain itu, kami gembira kerana telah mencapai kemajuan yang besar dalam peningkatan keselamatan dan daya tahan teknologi. Kami telah melabur RM2.7 bilion dalam tempoh tiga tahun lepas, dengan RM1 bilion lagi komited tahun ini, untuk meningkatkan lagi platform digital kami.

 

"Ini termasuk pelancaran aplikasi perbankan mudah alih baharu kami CIMB OCTO di Malaysia bersama-sama dengan aplikasi yang diperbaharui untuk pasaran Singapura dan Indonesia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya komited dalam melaksanakan inisiatif keselamatan yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan kewangan termasuk ciri "kill switch" terkini dalam aplikasi perbankan mudah alih bank itu.

 

Katanya, ia membolehkan pelanggan segera membekukan ID perbankan dalam talian jika mereka mengesan sebarang aktiviti luar biasa atau mencurigakan dengan akaun mereka.

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya melepasi sasaran keuntungan bagi FY22 termasuk ROE, nisbah kos kepada pendapatan (CIR) dan kos atau peruntukan kredit.

 

Ia termasuk mencapai CIR terendah sebanyak 46.5% pada FY22 berbanding 48.6% pada FY21.

 

Selain itu, kumpulan itu kekal dengan permodalan yang baik dengan mengekalkan nisbah ekuiti biasa peringkat 1 (CET1) sebanyak 14.5% pada Disember 2022, menunjukkan kekuatan dan daya tahan modal yang berterusan.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen tahunan sebanyak 26 sen sesaham atau RM2.75 bilion bagi FY22 atau pembayaran sebanyak 50.5% berdasarkan keuntungan bersih teras yang dilaporkan. - DagangNews.com