CIMB salur dana pembiayaan RM30 bilion bantu pertumbuhan PKS | DagangNews Skip to main content

CIMB salur dana pembiayaan RM30 bilion bantu pertumbuhan PKS

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad mengumumkan komitmen baharu mereka dalam menyalurkan pembiayaan sebanyak RM30 bilion menjelang 2024 sebagai usaha membantu pertumbuhan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pembiayaan PKS yang diperuntukkan sebanyak RM30 bilion akan mengkuhkan lagi kedudukan kumpulan itu dalam membantu kumpulan ekonomi penting itu bagi tempoh dua tahun akan datang.

 

Beliau berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan sebagai rakan kongsi kepada pelanggan PKS dan melakarkan fasa pertumbuhan pasca pandemik.

 

"Sebagai sebuah organisasi dan pengantara kewangan yang didorong oleh tujuan, kami dengan sukacitanya dapat bekerjasama dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC)dalam membantu memperkasakan aktiviti ekonomi dengan menawarkan satu  set skim jaminan kepada perniagaan untuk terus kekal berinovasi," katanya dalam satu kenyataan selepas pemeteraian kerjasama antara CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad dengan SJPP dan CGC, hari ini.

 

Komitmen RM30 bilion itu termasuk pembiayaan PKS yang akan dijamin oleh SJPP dan CGC seperti Program Pembiayaan CIMB-CGC, Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) dan Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS).

 

BACA JUGA: Agensi pemudah cara kerajaan bagi sektor perniagaan perlu bantu PMKS pertahan pemulihan - Tengku Zafrul

 

Sebelum dilanda pandemik COVID-19, CIMB berjaya mencapai sasarannya untuk menyalur dana pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada PKS bagi tempoh antara 2019 hingga 2020.

 

cimb

 

Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng berkata, pihaknya akan terus menyokong misi kerajaan untuk menyemarakkan lagi pertumbuhan dan perkembangan PKS dengan membantu mereka mendapatkan akses kepada pembiayaan. 

 

"Perjanjian bersama CIMB ini menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha kami untuk terus mengukuhkan lagi prestasi perniagaan-perniagaan ini yang merupakan tulang  belakang ekonomi negara untuk kembali pulih dan terus berkembang maju," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein berkata, PKS perlu sentiasa berdaya maju dan terus berkembang untuk kekal relevan dan memainkan peranan pentingnya dalam pemulihan ekonomi negara. 

 

Beliau berkata, dalam usaha mencapai matlamat itu, CGC kekal fokus akan objektif utamanya dalam menyokong PKS serta memacu agenda rangkuman kewangan Malaysia.
 

"Kami bangga dapat bekerjasama dengan CIMB melalui Program Pembiayaan CIMBCGC yang membolehkan PKS merealisasikan matlamat perniagaan masing-masing untuk merentasi pelbagai sektor perniagaan dan perdagangan melalui program jaminan kami," katanya. - DagangNews.com