KUALA LUMPUR 7 Julai - Syarikat peneraju teknologi, CISCO melancarkan program pembiayaan baharu dengan kadar faedah hingga 0% bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia memiliki produknya.
Pengarah Urusannya, Albert Chai berkata, tawaran faedah 0% itu adalah tanpa kos pendahuluan dengan syarat pembayaran bulanan tetap selama tiga tahun.
"Tawaran ini merangkumi semua produk CISCO termasuk perisian, perkakasan dan perkhidmatan. Tawaran Program Pembiayaan ini akan memudahkan PKS tempatan untuk memulakan perjalanan pendigitalan mereka dan kami komited untuk meringankan beban PKS di Malaysia.
"Program ini akan membolehkan PKS mengakses kepada semua sokongan teknologi CISCO yang diperlukan dan menikmati pajakan pembayaran penuh selama tiga tahun untuk sebarang pembelian bernilai antara RM85,600 hingga RM1.2 juta. Selepas tempoh kontrak, mereka akan menjadi pemilik penuh kepada peralatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Program Pembiayaan 0% dilancarkan seiring dengan langkah Malaysia yang melonggarkan kawalan COVID-19 sekali gus membuka semula sektor ekonomi negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Jelas beliau lagi, perkara tersebut mendorong PKS agar lebih bersedia untuk menerapkan penggunaan teknologi ke dalam perniagaan masing-masing bagi merancakkan lagi transformasi digital demi pertumbuhan ekonomi di masa hadapan.
"Anjakan digital ini akan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara secara keseluruhannya memandangkan sektor PKS ini adalah penyumbang kepada hampir dua pertiga daripada semua sektor pekerjaan di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Perniagaan Kecil dan Komersial untuk ASEAN di CISCO, Raz Mohamad menambah, PKS juga adalah tunjang kepada ekonomi ASEAN dan kehadiran teknologi jelas membantu mereka menyelesaikan beberapa cabaran bagi memulihkan semula operasi selepas redanya wabak COVID-19.
"Dalam hal ini, PKS amat memerlukan bantuan daripada rakan kerjasama seperti CISCO sama ada untuk penyelesaian masalah melalui kepakaran kami atau program yang dapat meringankan beban kewangan mereka," jelasnya. - DagangNews.com