Citaglobal peroleh kontrak RM200 juta bangunkan Projek Sanglang di Perlis | DagangNews Skip to main content

Citaglobal peroleh kontrak RM200 juta bangunkan Projek Sanglang di Perlis

Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria
Oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Citaglobal Bhd, dahulunya dikenali sebagai WZ Satu Bhd, berjaya memperoleh kontrak bernilai RM200 juta daripada Mutiara Perlis Sdn Bhd untuk membangunkan projek Jeti Bersepadu Sanglang (Projek Sanglang) di Perlis.

 

Kontrak itu akan dilaksanakan oleh unit milik penuh Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd, yang dilantik sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC).

 

Projek tersebut akan dibangunkan dalam empat fasa iaitu Fasa 1A, Fasa 1B, Fasa 2 dan Fasa 3 dengan kontrak Fasa 1A dianggarkan bernilai RM200 juta manakala nilai bagi tiga fasa lagi belum dimuktamadkan.

 

Citaglobal akan terlebih dahulu memuktamadkan tawaran projek ini bagi melaksanakan Fasa 1A.

 

Menerusi projek itu, Citaglobal berkata, perolehan nilai kontrak sedia ada kumpulan itu akan meningkat kepada RM933.2 juta melalui kontrak yang diraih itu berbanding RM733.2 juta sebelum ini.

 

Sementara itu, Presiden dan Pengerusi Eksekutif Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau percaya kejayaan menyiapkan Fasa 1 projek Bandaraya Getah Kedah menjadi salah satu faktor mereka melaksanakan Projek Sanglang.

 

"Kami bersyukur dianugerahka projek bernilai tinggi ini yang dibentangkan semula dalam belanjawan oleh Perdana Menteri baru-baru ini dan tumpuan segera kami adalah untuk memuktamadkan Fasa 1A kontrak Projek Sanglang dengan cekap dan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Projek Sanglang dibangunkan di bawah Koridor Maritim Perlis, yang bertujuan untuk memudahkan pembangunan negeri dari segi logistik, pelancongan, akuakultur dan perikanan.

 

Projek itu akan menyediakan kemudahan jeti untuk kapal dagang, kapal pesiaran dan kapal layar mewah, bot ikan laut dalam, kapal minyak dan gas untuk berlabuh, serta menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi kapal dagang. - DagangNews.com