Comintel raih kontrak bernilai RM230 juta daripada Builtamont Development untuk pembinaan pangsapuri di Taman Desa Aman | DagangNews Skip to main content

Comintel raih kontrak bernilai RM230 juta daripada Builtamont Development untuk pembinaan pangsapuri di Taman Desa Aman

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 April - Comintel Corporation Berhad berjaya meraih kontrak bernilai RM229.80 juta daripada Builtamont Development Sdn. Bhd. (BDSB) bagi menjalankan kerja-kerja bangunan utama bagi projek pangsapuri di Taman Desa Aman, Kuala Lumpur.

 

Comintel menerusi anak syarikatnya, Binastra Builders Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Total Package Work Sdn Bhd) telah menerima surat anugerah daripada BDSB.

 

Kerja-kerja utama itu terdiri daripada dua blok pangsapuri 1,236 unit, bersama dengan podium 9½ tingkat untuk tempat letak kereta bertingkat dengan satu tingkat tempat letak kereta separuh bawah tanah, bersama kemudahan untuk penduduk, pencawang elektrik, bilik sampah dan rumah pengawal keselamatan.

 

Kontrak tersebut adalah untuk tempoh 34 bulan, bermula dari 1 Mei 2023.

 

"Kontrak itu dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh tiga tahun kewangan akan datang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Ia memberi jaminan bahawa kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat, tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 (FY24) hingga FY26.

 

Syarikat itu mendedahkan bahawa pengarah urusan dan pemegang saham utamanya Datuk Tan Kak Seng juga merupakan pemegang saham utama Maxim Global Bhd, syarikat induk BDSB.

 

“Kak Seng bukan pengarah Maxim Global atau BDSB, dan oleh itu kontrak itu tidak dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan menurut Perenggan 10.08 (11) (l) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd,” katanya.

 

Kecuali seperti yang didedahkan di atas, ia berkata bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama dan/atau orang yang berkaitan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama seperti yang ditakrifkan dalam keperluan penyenaraian mempunyai sebarang kepentingan, langsung atau tidak langsung, dalam kontrak.

 

Ia berkata pengarah syarikat itu berpendapat penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan syarikat. - DagangNews.com