CONNECTme NOW rapatkan jurang internet penduduk Kampung Wahulu, Sabah | DagangNews Skip to main content

CONNECTme NOW rapatkan jurang internet penduduk Kampung Wahulu, Sabah

YAKUB KHAN (empat dari kanan) menyampaikan baucar 300GB kepada penduduk Kampung Waluhu, Ranau Sabah.
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Jalur lebar komuniti melalui satelit, CONNECTme NOW telah membawa penduduk Kampung Wahulu, Ranau di Sabah untuk merapatkan jurang capaian internet dengan komuniti lain. 

 

Inisiatif itu merupakan kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta MEASAT Global Berhad (MEASAT). 

 

Pemasangan berkenaan tepat pada masanya untuk menangani masalah yang dihadapi beberapa pelajar, terpaksa memasuki hutan dan berdepan risiko ancaman haiwan liar untuk mendapatkan akses internet bagi pembelajaran dalam talian pada Januari 2021.

 

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, pemasangan CONNECTme NOW dengan tajaan pertama 300 GB oleh kerajaan negeri merupakan penyelesaian pantas buat komuniti kampung berkenaan dalam menerima liputan internet.

 

“Kurangnya kesambungan internet disebabkan oleh capaian rangkaian jalur lebar daratan yang terhad di kawasan luar bandar Sabah dan ini memaksa penduduk kampung mencari lokasi tertentu untuk mengakses jalur lebar.

 

“Walaupun pembinaan menara telekomunikasi adalah penyelesaian jangka masa panjang, namun ini memerlukan masa yang lama untuk disiapkan berbanding dengan sambungan jalur lebar melalui satelit,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

CONNECTme NOW menggunakan Terminal Apertur Sangat Kecil (VSAT), Satelit Celusan Tinggi (HTS) dan perkhidmatan disampaikan melalui model perniagaan prabayar yang berterusan untuk penyambungan jalur lebar luar bandar. 

 

MEASAT
YAKUB KHAN (enam dari kanan) menyampaikan baucar 300GB kepada penduduk Kampung Waluhu, Ranau Sabah.

 

Tanpa kontrak atau caj bulanan tetap, pelanggan hanya membayar untuk apa yang mereka gunakan dengan baucar Kod Akses Prabayar (PAC) di kawasan khas WiFi komuniti CONNECTme NOW. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyediakan CONNECTme NOW kepada komuniti Kampung Wuhulu dan membantu mereka untuk mengatasi cabaran komunikasi jalur lebar. 

 

“Walaupun terdapat fokus proaktif oleh kerajaan untuk memperkukuh jaringan daratan yang ada, namun ia masih memerlukan waktu yang lama untuk menambah baik hubungan di daerah yang kurang menerima perhatian.

 

“Perkhidmatan jalur lebar satelit adalah penyelesaian ideal, praktikal dan segera dalam menyediakan hubungan dengan masyarakat di kawasan luar bandar dan ia dapat disiapkan hanya dalam beberapa hari sahaja,” katanya. 

 

CONNECTme NOW telah mencetuskan gelombang dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar satelit kepada komuniti untuk mencapai aspirasi jalur lebar kebangsaan. 

 

Setakat ini, CONNECTme NOW dengan pesat telah menghubungkan lebih 100,000 sambungan jalur lebar di seluruh negara buat rakyat yang menetap di luar liputan 4G atau rangkaian daratan. - DagangNews.com