KUALA LUMPUR 4 Sept - Country Garden Group menubuhkan Bahagian Malaysia yang akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap rancangan, penyelarasan dan fungsi keseluruhan projek di negara ini.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, penubuhan bahagian itu akan meningkatkan integrasi sumber berkualiti tinggi dan memperkasa struktur organisasi mereka di pasaran Malaysia.
"Bahagian ini menyasarkan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan Forest City sebagai projek utama sekali gus komited meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor.
"Ia juga akan mengukuhkan kerjasama dengan Johor Esplanade Danga 88 Sdn Bhd bagi bersama-sama memastikan pelaksanaan Zon Kewangan Khas (SFZ) dapat dijayakan.
"Pelarasan struktur ini menunjukkan keazaman Country Garden Group untuk terus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dan mematuhi pembangunan berkualiti," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: SFZ Forest City dicadang dilaksanakan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura oleh kerajaan Johor
Sementara itu, Forest City menyambut baik pindaan dasar program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) khusus untuk SFZ, naik taraf status kawasan bebas cukai kepada pulau bebas cukai serta dasar pelaburan menarik yang bakal diperkenalkan di bawah inisiatif SFZ.
Terdahulu, Forest City yang dilancar pada 2016, matlamatnya adalah bagi membangunkan kawasan itu sebagai zon integrasi perkhidmatan penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan juga hartanah.
Terdapat perancangan menjadikan Forest City sebagai zon bebas cukai pada waktu itu, dan kini pindaan telah dibuat dengan bantuan kerajaan pusat.
Langkah itu bakal menjadikan pulau satu Forest City sebagai pulau bebas cukai.
Forest City dipilih bagi pelaksanaan SFZ adalah berdasarkan beberapa faktor termasuk lokasi strategik selain perancangan bersesuaian dengan naratif asal pembangunan kawasan berkenaan.- DagangNews.com