Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
NEW YORK 24 Julai - Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menerusi statistiknya menjangkakan wabak pandemik COVID-19 akan berakhir sebagai 10 penyebab utama kematian di negara itu.
Ahli statistik kematian CDC memberitahu, meskipun pihaknya masih belum mempunyai data penuh berkaitan kedudukan tersebut, namun CDC yakin wabak berkenaan tersenarai antara 10 penyebab utama kematian di AS.
"Kami tahu bahawa berdasarkan jumlah kematian COVID-19 setakat ini, ia akan berakhir sebagai 10 penyebab utama kematian. Tetapi kedudukan tersebut belum diketahui dengan tepat hingga tahun hadapan.
"Penyakit jantung dan kanser adalah dua penyebab utama kematian di AS yang menjadi penyumbang kepada keseluruhan jumlah kematian di AS pada setiap tahun. Dan perkara itu dijangka tidak berubah," jelasnya menerusi hantaran emel seperti dipetik CNN.
Hingga semalam, AS mencatatkan kematian melebihi 144,000 orang dengan jumlah jangkitan melebihi 3.91 juta.
Manakala jumlah penularan wabak yang positif di peringkat global terus melonjak melebihi 15 juta.
Peningkatan kes terus mendadak di tiga negara lain seperti Brazil, India, Rusia dan Afrika Selatan.
Setakat 22 Julai lalu, Brazil mencatatkan jumlah kematian melebihi 81,000 dan Afrika Selatan sebanyak 5,173 kematian.
Data terakhir yang disediakan pada 2018 merekodkan 10 penyakit yang menjadi penyebab utama kematian semua peringkat umur di AS seperti penyakit jantung (655,381), kanser (599,274), kecederaan tidak disengajakan (167.127), pernafasan kronik (159,486), lumpuh (147,810), Alzheimer (122,019) dan diabetes (84,946).
Jumlah tersebut disusuli tiga penyakit lain seperti selsema dan radang paru-paru (59,120), Nefritis (51, 386), dan bunuh diri (48,344). - DagangNews.com