Cukai barangan mewah mungkin akibatkan pelancong berhenti beli-belah di Malaysia, kata Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Cukai barangan mewah mungkin akibatkan pelancong berhenti beli-belah di Malaysia, kata Ismail Sabri

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menyemak semula keputusannya untuk melaksanakan cukai barangan mewah kerana pelancong antarabangsa mungkin berhenti membeli-belah di Malaysia, menyebabkan resit pelancongan lebih rendah, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri (Umno-Bera) memberitahu Dewan Rakyat pada Selasa bahawa aktiviti membeli-belah menyumbang kepada 30% daripada pendapatan pelancongan antarabangsa negara sebanyak RM86.1 bilion pada 2019, kerana Malaysia disifatkan sebagai syurga membeli-belah bagi pelancong.

 

“Mengenakan cukai ini akan menyebabkan mereka berbelanja di negara jiran. Negara jiran kita sudah pun berlumba-lumba untuk menarik kedatangan pelancong, dan membina negara mereka sebagai hab membeli-belah,” katanya dalam perbahasannya mengenai Bajet 2023 yang disemak.

 

“Kerajaan perlu berhati-hati dalam pelaksanaan cukai ini. Sebagai contoh, sektor peruncitan di UK terjejas teruk apabila kerajaan memperkenalkan cukai ke atas barangan mewah,” tambahnya.

 

Ismail Sabri berkata ringgit Malaysia yang lemah adalah kelebihan berbanding negara jiran dalam menarik pelancong membeli-belah di negara ini, dan mengekalkan kadar cukai yang rendah boleh membantu mengekalkan kedudukan negara sebagai syurga membeli-belah.

 

Ismail Sabri juga mengulangi gesaan agar kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja secara bersasar bagi mereka yang memerlukan.

 

Sungguhpun tindakan kerajaan mengkreditkan RM500 ke dalam akaun KWSP komuniti B40 patut dipuji, pencarum hanya dibenarkan membuat pengeluaran apabila bersara, kata naib presiden Umno itu.

 

“Jika pencarum berumur 40 tahun, pengeluaran hanya akan berlaku 15 tahun kemudian. Apa yang kerajaan mahu lakukan adalah baik, tetapi kesukaran yang perlu ditangani oleh rakyat sekarang, bukan 15 tahun kemudian,” katanya.

 

“Kesukaran yang mereka hadapi sekarang; rumah mereka dilelong, anak mereka masuk universiti, atau hampir diisytiharkan muflis, semuanya berlaku sekarang.

 

"Bukan tidak faham, kita faham [mengenai krisis persaraan], tetapi laksanakan secara bersasar dengan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

 

“Saya harap kerajaan akan mempertimbangkannya sekali lagi. Saya harap ada berita baik untuk pencarum KWSP semasa penggulungan menteri kewangan,” katanya lagi. - DagangNews.com