Dagangan sulung Sanichi-OR tarik minat pelabur | DagangNews Skip to main content

Dagangan sulung Sanichi-OR tarik minat pelabur

 

KUALA LUMPUR 27 April - Hari pertama dagangan saham hak Sanichi Technology Bhd (Sanichi-OR) sangat aktif dengan 154.31 juta saham bertukar tangan.

 

Sanichi-OR memulakan dagangan di Bursa Malaysia pada 26 April 2021 dan ia ditutup pada 0.5 sen.

 

Saham syarikat induknya meningkat tiga sen atau 18% kepada 18.5 sen dengan 36.53 juta saham didagangkan.

 

"Hari pertama dagangan dan dagangan Sanichi-OR adalah sangat aktif, terutama berikutan dua Sanichi-OR boleh melanggan dua saham baharu Sanichi pada harga langganan lapan sen, dan satu waran percuma (SANICHI-WF) dapat diberikan kepada pelanggan," katanya, menurut Berita Harian.

 

Sanichi-OR akan didagangkan sehingga 3 Mei 2021, sementara tarikh akhir bagi pemegang saham menerima waran adalah 11 Mei 2021, manakala saham baharu akan disenaraikan pada 28 Mei 2021.

 

Sanichi mengumumkan aktiviti pengumpulan dana itu minggu lalu dengan tujuan untuk menceburkan diri dalam industri sarung tangan.

 

Syarikat itu menjangkakan bahawa pelaksanaan aktiviti meraih dana itu akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti pelaburan.

 

Sanichi menawarkan sehingga 1.42 bilion terbitan hak bernilai lapan sen dengan 712 juta waran percuma (Sanichi-WF) kepada pemegang saham sedia adanya.

 

Langkah korporat itu akan menyaksikan untuk setiap satu saham yang dimiliki pemegang saham, akan menerima enam terbitan saham berserta dengan tiga waran.

 

Berdasarkan pelan kepelbagaian itu, Sanichi merancang untuk memasang dan mengoperasikan sehingga 15 barisan pengeluaran sarung tangan secara berperingkat selama 36 bulan untuk mengeluarkan sarung tangan nitril kelas perubatan.

 

Ia dijangka menghasilkan kapasiti pengeluaran lebih daripada 3.11 bilion keping setahun.

 

Sebagai permulaan, Sanichi berhasrat untuk menggunakan hasil daripada cadangan terbitan hak dengan waran untuk memperoleh, memasang dan mengoperasikan sehingga enam barisan pengeluaran sarung tangan itu. - DagangNews.com