SEBERANG PERAI 14 Nov - Perniagaan santan segar dan kerisik yang diusahakan Norhayati Aziz sejak 20 tahun lalu semakin berkembang selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan setempat.
Wanita berusia 48 tahun bukan sahaja cekap menguruskan perniagaan tetapi turut dibantu anak ketiganya, Nurul Solehah Azmi berusia 20 tahun di kedai runcit mereka di Kuala Muda, Penaga.
Katanya, sejumlah 300 kelapa diproses setiap hari dan mampu menghasilkan sehingga 84 kilogram santan bagi menampung permintaan pelanggan.
“Kedai memproses kelapa terletak di sebelah rumah bagi memudahkan saya memantau beberapa pekerja yang mengambil upah mengupas dan memotong kelapa.
“Anak saya akan memproses kepala tersebut untuk dijadikan santan menggunakan kelengkapan mesin di kedai runcit.
“Santan sememangnya mendapat permintaan tinggi terutamanya ketika musim perayaan dan saya pernah jual sehingga 200 kilogram santan sebelum sambutan Aidilfitri lalu,” katanya.
Beliau berkata, kedai runcit yang mula beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas memudahkan pelanggan untuk mendapatkan bekalan santan yang diperlukan.
Tambahnya, pelbagai pahit getir sudah dirasai sepanjang menguruskan perniagaan terbabit dan bekalan kelapa adalah salah satu cabaran utama yang perlu diatasi.
“Santan dan kerisik yang dihasilkan menggunakan bekalan kelapa yang diimport dari Indonesia dan juga pembekal tempatan.
"Bagaimanapun, bekalan kelapa tempatan kadangkala sukar untuk diperolehi kerana membabitkan pelbagai faktor antaranya cuaca yang tidak menentu.
“Harga kelapa juga semakin meningkat namun, saya tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana ia akan membebankan pelanggan.
“Di samping itu, mutu dan kualiti santan juga perlu dijaga bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan produk yang dijual,” katanya.
Dalam pada itu, Norhayati mengakui sangat bertuah kerana berpeluang bernaung sebagai Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak lima tahun lalu.
“AIM banyak membantu saya dan Sahabat lain dengan menawarkan pinjaman kepada usahawan yang berusaha untuk menstabilkan perniagaan yang dijalankan.
“Mudah untuk saya membuat pusingan modal menggunakan dana yang diberikan malah diharapkan AIM dapat terus membimbing usahawan yang mahu meningkatkan prestasi perniagaan masing- masing," katanya. - DagangNews.com