Dana Ekuiti MAMG China Evolution beri tumpuan pelaburan kepada syarikat yang kurang diterokai di China | DagangNews Skip to main content

Dana Ekuiti MAMG China Evolution beri tumpuan pelaburan kepada syarikat yang kurang diterokai di China

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Jan - Maybank Asset Management Malaysia menjalinkan kerjasama dengan firma pelaburan global, T. Rowe Price bagi menawarkan Dana Ekuiti MAMG China Evolution yang memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat yang kurang diterokai bagi pasaran China.

 

Dana berkenaan akan memanfaatkan strategi pelaburan ekuiti T. Rowe Price dengan tumpuan kepada 98% peluang pelaburan melibatkan 5,500 syarikat yang masih belum diterokai dalam fasa baharu pembangunan ekonomi China yang memberi fokus kepada kualiti dan inovasi.

 

Pelaburan dana itu akan memanfaatkan perubahan dinamik dan perkembangan di China termasuk syarikat yang mempunyai nilai tambah menerusi inovasi, penggerak khusus dalam industri, syarikat yang terlibat dengan peralihan tenaga, kenderaan pintar dan ruang pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

Pelaburan itu akan diuruskan oleh Wenli Zheng, pengurus portfolio yang berpangkalan di Hong Kong yang mempunyai pengalaman 13 tahun dalam pengurusan aset global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Group, Ahmad Najib Nazlan berkata, pihaknya berbesar hati untuk memperkenalkan Dana Ekuiti MAMG China Evolution, sebuah inovasi baharu untuk tahun 2022.

 

"Kami merupakan syarikat pengurusan aset pertama di Malaysia memperkenalkan dana pertama seumpamanya untuk mencari permata yang tersembunyi dalam transformasi ekonomi China.

 

china

 

"Dengan meluaskan capaian kepada lebih 5,500 syarikat, ia akan memberikan kelebihan kepada kami untuk memilih pelaburan terbaik di seluruh China dalam membentuk perniagaan mampan.

 

"Menerusi pengetahuan luas T. Rowe Price di dalam pasaran China, kami yakin jalinan kerjasama ini akan memberi kelebihan kepada pelabur kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

china

 

Ketua Pengedaran untuk Asia ex-Japan T. Rowe Price, Elsie Chan berkata, China memiliki pasaran melebihi 5,500 syarikat yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan baharu dan ia terbuka kepada pelabur yang berhasrat membina perniagaan mampan selain meraih pulangan tinggi.

 

"Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Maybank Asset Management untuk menawarkan stratiegi pelaburan seperti ini kepada pelabur di Malaysia dalam memenuhi portfolio mereka serta mencari peluang baharu di dalam pasaran China," katanya. - DagangNews.com