'Dana VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF' sertai platform Robo Advisor Wahed | DagangNews Skip to main content

'Dana VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF' sertai platform Robo Advisor Wahed

Wahed

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Dana VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF tersenarai sebagai salah satu aset pelaburan di platform Robo Advisor Wahed.

 

Penyenaraian itu adalah hasil kerjasama syarikat perkhidmatan pelaburan automatik, Wahed Technologies Sdn. Bhd. (Wahed Invest Malaysia) yang mengumumkan kerjasama dengan Value Partners Asset Management Malaysia Sdn. Bhd. (Value Partners Malaysia).

 

VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF merupakan dana dagangan bursa (ETF) Saham-A China patuh Syariah pertama di dunia yang menjejaki prestasi indeks Dow Jones Islamic Market China A-Shares 100 Index.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara Wahed Invest Malaysia, Syakir Hashim berkata, pelancaran ETF Saham-A China memberi peluang unik bagi pelabur Malaysia untuk menyertai pertumbuhan ekonomi kedua terbesar di dunia sambil memastikan pelaburan patuh syariah.

Syakir Hashim
Syakir Hashim 

 

“Dengan penyertaan ETF Saham-A China ke dalam portfolio Robo Advisor Wahed, pelanggan akan dapat menjejaki prestasi dana dan mencapai faedah kepelbagaian dengan tujuan memaksimumkan pulangan jangka panjang berdasarkan profil risiko," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kerjasama antara Wahed Invest Malaysia dan Value Partners Malaysia untuk menawarkan akses kepada pelabur tempatan ke pasaran China, khususnya dalam pelaburan ekonomi baru yang merangkumi sektor seperti teknologi, penggunaan, penjagaan kesihatan dan 5G.

 

Pelabur di platform pelaburan Wahed akan dapat melabur ke dalam ETF tersebut sebahagian daripada aset untuk pembinaan portfolio mereka. 

 

Peruntukan ETF akan ditentukan mengikut tahap risiko setiap pelabur dan jangkaan pulangan kepada portfolio.

 

ETF tersebut menggunakan strategi replikasi penuh dengan melabur dalam saham-A patuh syariah, yang bersesuaian dengan prinsip dan fokus perkhidmatan Wahed Invest Malaysia dalam menyediakan pelabur runcit akses kepada pelaburan patuh syariah tempatan dan global.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Value Partners Malaysia, Durraini Baharuddin berkata, Value Partners Malaysia menyambut baik inisiatif Wahed Invest Malaysia sebagai pengurus pelaburan digital syariah yang terkemuka di Malaysia dalam memberikan pendekatan inovatif berkaitan pengurusan pelaburan.

 

Durraini Baharuddin
Durraini Baharuddin

 

"Value Partners terkenal sebagai pakar pelaburan China selama lebih dari 28 tahun, dan sentiasa berusaha untuk menyediakan produk inovatif kepada para pelabur. 

 

"Dengan memanfaatkan rekod prestasi kami yang terbukti dalam melabur di pasaran China, ETF Saham-A China baru kami adalah peluang unik bagi pelabur Malaysia untuk merebut peluang menyertai ekonomi China yang baru dengan berdasarkan prinsip patuh syariah.

 

“Kami gembira dengan kerjasama dengan Wahed Invest Malaysia dan berharap dapat menjalin kerjasama lebih erat selepas ini,” kata Durraini lagi. - DagangNews.com