Dasar ekonomi PH `contractionary’,  PN `expansionary’ | DagangNews Skip to main content

Dasar ekonomi PH `contractionary’,  PN `expansionary’

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

SHAH ALAM 11 Ogos – Dasar ekonomi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan, diklasifikasi sebagai `dasar mengecut' (contractionary), berbanding Perikatan Nasional yang lebih kepada pengembangan (expansionary).

 

Dasar ekonomi yang paling utama di zaman PH ialah pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang menyebabkan negara kehilangan hasil sebanyak RM21 bilion, sekali gus menyeret kerajaan PH ke situasi rumit tidak memiliki dana.

 

Ini termasuk juga projek mega ECRL yang sering bertukar-tukar kenyataan `sekejap batal, sekejap jalan’ antara menteri berlainan parti di dalam komponen PH.

 

PH melabel ERCL tidak menguntungkan rakyat, sedangkan sekiranya pelaksanaan projek tersebut diteruskan, kegiatan ekonomi akan melonjak, wujudnya peluang pekerjaan dan meningkatkan harga tanah di sekitar kawasan tersebut.

 

Dibandingkan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kuasa eksekutif negara pada Mac 2020 sewaktu Malaysia diambang pandemik COVID-19 dengan pelaksanaan PKP 1.0 pada 18 Mac 2020.

 

Penganalisis ekonomi yang juga pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM, Syamsyul Samsudin berkata, situasi tersebut mendorong PN melaksanakan dasar pro rakyat dengan pengenalan dan pelaksanaan insentif dan pakej khas bagi membantu setiap lapisan rakyat yang berdepan pandemik COVID-19 ini.


 

syamsyul samsudin
Syamsyul Samsudin

 

 

Sejumlah RM490 bilion di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan oleh PN iaitu PRIHATIN RM250 bilion; PENJANA RM35 bilion dengan 40 inisiatif; PERMAI RM15 bilion dengan 22 inisiatif; PEMERKASA  RM40 bilion dan PEMULIH RM150 bilion.

 

Semasa mula memerintah negara dalam Pembentangan Bajet Pertama Kerajaan PH, Lim Guan Eng memperkenalkan Bajet Asas-Sifar (Zero-Based Budgeting).

 

“Bajet asas sifar iaitu berasaskan kecekapan dan keperluan dan bukannya berdasarkan peruntukan atau sejarah terdahulu.
 

 

“Zaman PH menyaksikan banyak aspek dipotong peruntukan, termasuk untuk sektor sukan yang menyebabkan jurulatih asing kepada atlet Malaysia terpaksa berhenti,” katanya kepada DagangNews.com.

 

PN sebaliknya kata Syamsyul, membentangkan belanjawan negara dengan konsep prihatin rakyat iaitu melindungi rakyat, membantu rakyat bangkit semula dan menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan serta lestari.

 

“Rakyat tidak akan cepat lupa apa yang berlaku kepada ekonomi semasa pemerintahan PH selama 22 bulan.

 

“Kestabilan mula dikecapi apabila seorang profesional iaitu Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dilantik ke jawatan Menteri Kewangan, dan bukan ketua parti tertentu.

 

zafrul
Tengku Zafrul Aziz

 


“Kerajaan PN ada kelemahannya tersendiri seperti kritikan umum terhadap keputusan meletakkan Tabung Haji dibawah selian Bank Negara. Tetapi secara umumnya, dasar ekonomi PN semasa pandemik ini, adalah bertepatan dengan aspirasi rakyat yang perlu dibantu dan dibela. Ini kita ingat,” katanya. – DagangNews.com