Dasar lebih jelas boleh lonjakkan pelaburan kenderaan elektrik - Maybank Kim Eng | DagangNews Skip to main content

Dasar lebih jelas boleh lonjakkan pelaburan kenderaan elektrik - Maybank Kim Eng

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Dasar yang lebih jelas ditambah insentif yang ditawarkan boleh mengubah sikap pengguna terhadap kenderaan elektrik (EV) sekali gus menarik minat pelabur untuk membantu melonjakkan penerimaannya.

 

Maybank Kim Eng yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif, Usaha Sama Baharu dan Teknologi, Yinson Holdings, Eirik Barclay mengambil contoh Norway yang tidak memperkenalkan sebarang subsidi untuk EV, kerajaannya sebaliknya meningkatkan cukai untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICEV) atau konvensional serta bahan api. 

 

Jelas firma itu, Barclay yang bercakap pada webinar “The Rise of ASEAN EV” anjuran Maybank Kim Eng memberitahu bahawa dasar berkenaan tidak mendatangkan kerugian hasil buat negara dan percaya ia akan mendorong pengguna untuk memilih EV berbanding ICEV. 

 

“Garis masa yang jelas bagi pengguna EV dan penamatan ICEV, insentif bagi EV dan tiada insentif untuk ICEV bakal meningkatkan permintaan buat EV. Pelaburan akan menyusul, termasuk infrastruktur dan kestabilan sumber tenaga. 

 

“Jarak kekal menjadi kebimbangan dalam kalangan pengguna, walaupun hampir semua tidak biasa memandu lebih 100 kilometer (km) sehari. Ini dapat dikurangkan dengan infrastruktur pengecas (kenderaan EV) yang dirancang dengan baik,” jelas Maybank Kim Eng dalam satu kenyataan. 

 

Sebelum itu, webinar yang dianjurkan Maybank Kim Eng secara maya hari ini turut menampilkan Pengarah EV Connection Sdn Bhd, Lee Yuen How dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Oyika, Jinsi Lee sebagai barisan panel serta disertai oleh Ketua Rantau Minyak dan Gas dan Penyelidikan Automotif, Maybank Kim Eng, Liaw Thong Jung.

 

 

MKE
DARI kiri atas, Jinsi Lee, Lee Yuen How dan dari kiri bawah, Eirik Barclay dan Liaw Thong Jung pada webinar anjuran Maybank Kim Eng, hari ini.

 

Sementara itu, Yuen How melihat semua pihak berkepentingan seperti pengeluar kelengkapan automotif asli (OEM), syarikat minyak dan gas, syarikat utiliti, pengendali pusat mengecas dan kerajaan perlu bekerjasama untuk membina infrastruktur EV. 

 

“Sekiranya anda lepaskannya kepada sektor swasta, mereka akan hanya membina infrastruktur mengecas di tempat yang mempunyai pengguna EV tinggi, menjadikan kawasan separa pedalaman dan kawasan pedalaman ketinggalan dari segi infrastruktur pengecasan EV. 

 

“Oleh itu, kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan pelaburan di seluruh tempat,” katanya. 

 

Senada itu, Lee menyokong langkah untuk memisahkan bateri dan kenderaan elektrik bagi kebaikan alam sekitar dan kawal selia. 

 

Katanya, pihak yang menjual kenderaan tersebut perlu bertanggungjawab sepanjang kitaran hidup bateri yang digunakan berbanding memindahkan pemilikannya kepada pembeli kenderaan. 

 

Sebelum ini, Maybank Kim Eng Research menjangkakan jualan EV bakal mencapai paras setara dengan ICEV menjelang tahun 2030, dipacu oleh agenda nyahkarbon global dan pemilihan pengguna milenial terhadap EV berbanding golongan lain. 

 

Di peringkat ASEAN, firma itu melihat Malaysia dan Filipina paling ketinggalan dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) akan bertindak sebagai pemangkin buat industri EV di dalam negara ini. 

 

Baca : Malaysia ketinggalan dalam segmen kereta elektrik

 

Bagaimanapun, firma itu menyarankan supaya pelan berkenaan perlu diberikan lebih tumpuan kepada bateri EV berbanding EV jenis plug-in atau hibrid untuk mencapai agenda nyahkarbon sepenuhnya. - DagangNews.com