Dasar Tenaga Negara akan dilancarkan - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Dasar Tenaga Negara akan dilancarkan - Mustapa

 

 


KUALA LUMPUR 15 Julai - Dasar Tenaga Negara akan dilancarkan tidak lama lagi sekali gus menjadi panduan kepada sektor tenaga di Malaysia terutama peralihan industri kepada masa depan rendah karbon.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pandemik COVID-19 memberi peluang kepada industri tenaga untuk melaksanakan perubahan yang besar.

 

Katanya, ini termasuklah menerapkan kemampanan dengan mengamalkan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) meskipun terjejas akibat wabak itu.

 

“Di peringkat global, permintaan terhadap dana ESG meningkat 29% kepada hampir AS$1.7 trilion pada suku akhir 2020,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada siri pertama Forum Kemampanan OGSE Kebangsaan yang diadakan secara maya hari ini.

 

Forum Kemampanan OGSE Kebangsaan setengah hari itu merupakan anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC).

 

Selain Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 yang dilancarkan baru-baru ini, Dasar Tenaga Negara juga penting bagi membolehkan perniagaan OGSE membuat keputusan untuk membantu membentuk masa depan yang lebih bersih dan mampan untuk generasi akan datang.

 

Pada masa ini, hanya terdapat 32 syarikat OGSE tempatan yang melaksanakan pelaporan kemampanan. 

 

Daripada jumlah itu, hanya sebuah syarikat, Dialog Group Bhd, yang berada dalam Indeks Kemampanan Dow Jones, penanda aras yang menjejaki prestasi saham syarikat utama dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial.

 

Mustapa berkata, amalan yang rendah menunjukkan kesedaran mengenai ESG kekal tidak sekata dalam kalangan penggiat OGSE termasuk dalam kalangan syarikat senaraian awam terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Katanya, bagi mempersiapkan industri OGSE untuk perjalanan ESG, para penggiat perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang tepat untuk menempuh perjalanan pada masa hadapan.

 

"Industri perlu seiring dengan standard yang berubah-ubah, dan hari ini, bermakna menyepadukan ESG dalam amalan perniagaan akan kekal relevan dan kompetitif.
 

“Kita berdepan dengan realiti bahawa mereka yang enggan berubah atau berubah terlalu perlahan, mungkin akan ketinggalan atau tenggelam oleh persaingan,” katanya. - DagangNews.com