Datasonic, Meta Doers bentuk syarikat kerjasama teroka peluang dalam projek berkaitan Metaverse | DagangNews Skip to main content

Datasonic, Meta Doers bentuk syarikat kerjasama teroka peluang dalam projek berkaitan Metaverse

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - Datasonic Group Berhad menandatangani memorandum persefahaman dengan Meta Doers World Holding Berhad untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) untuk meneroka peluang perniagaan berkaitan Metaverse.

 

Datasonic berkata, kerjasamanya dengan Meta Doers menandakan kejayaannya ke dunia Metaverse yang memberi fokus kepada sektor pendidikan dan industri penjagaan kesihatan.

 

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Datuk Abu Hanifah Noordin berkata, kumpulan itu menyasarkan pasaran sekolah rendah dan menengah, institut pengajian tinggi dan agensi latihan di Malaysia selain negara-negara ASEAN.

 

"Datasonic mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam banyak projek selain memiliki tapak yang kukuh di persada antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Meta Doers ialah sebahagian daripada Kumpulan Pendidikan Doers, pakar dalam pendidikan dalam talian dan luar talian, dan perundingan projek Metaverse.

 

Ia juga terlibat dalam khidmat nasihat, fokus kepada enam sektor perniagaan teras iaitu pendidikan, kesihatan, makanan, hiburan, tenaga dan industri perlindungan.

 

datasonic

 

Abu Hanifah berkata, Doers Education Group mempunyai perniagaan di China, Hong Kong, Macau, Taiwan, Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia, Filipina dan Kanada.

 

"Melalui penubuhan syarikat kerjasama 60:40, kami akan memanfaatkan kepakaran dan kekuatan daya saing kedua-dua pihak untuk membangunkan bilik darjah maya 3D bertaraf dunia dengan pelajar boleh bertemu dan berinteraksi secara maya dengan rakan sekelas dan guru untuk mencapai hasil pembelajaran yang optimum," katanya.

 

Menurut laporan oleh McKinsey & Company, pelaburan dalam Metaverse secara global meningkat daripada AS$57 bilion (RM270 bilion) pada 2021 kepada AS$120 bilion (RM568 juta) pada Jun 2022. - DagangNews.com