Datasonic terima kontrak RM21.2 juta daripada Kementerian Ekonomi bagi sewaan 818 mesin layan diri untuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat | DagangNews Skip to main content

Datasonic terima kontrak RM21.2 juta daripada Kementerian Ekonomi bagi sewaan 818 mesin layan diri untuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Datasonic Group Bhd menerusi Datasonic Technologies Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM21.2 juta daripada Kementerian Ekonomi bagi penyewaan sejumlah 818 unit mesin layan diri untuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi kontrak itu, kumpulan itu juga perlu melaksanakan program Latihan Profesional dan Pendidikan Perkembangan Usahawan (PROTEGE) seperti yang ditetapkan berdasarkan nilai kontrak dengan bilangan minimum lapan peserta tanpa sebarang kos kepada kerajaan.

 

"Kontrak itu adalah selama 24 bulan dan Tarikh mula kontrak akan ditentukan Kementerian Ekonomi dalam masa terdekat," katanya.

 

 

dgb

 

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan asset bersih sesaham Datasonic bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dan tahun kewangan sepanjang tempoh kontrak.

 

Bagaimanapun, kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas saham, modal dan pegangan saham pemegang saham besar Datasonic

 

"Kontrak itu tertakluk kepada risiko perniagaan biasa yang termasuk keadaan ekonomi keseluruhan, krisis pandemik, perubahan dalam peraturan kerajaan serta risiko operasi seperti peningkatan kos akibat sebarang peningkatan kos material serta terma kontrak termasuk peruntukan mungkir," katanya. - DagangNews.com