Datasonic terima lanjutan kontrak bernilai RM9.9 juta daripada KDN selama enam bulan | DagangNews Skip to main content

Datasonic terima lanjutan kontrak bernilai RM9.9 juta daripada KDN selama enam bulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Datasonic Group Berhad menerima lanjutan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tempoh enam bulan bermula 1 Jun hingga 30 November 2023 dengan nilai tambahan sebanyak RM9.9 juta.

 

Kumpulan itu menerima surat anugerah (LOE) pada 29 Mei 2023 daripada KDN berhubung pindaan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan komprehensif pusat pemperibadian kad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

 

"Lanjutan kontrak serta nilai tambahan itu melibatkan pertukaran pelbagai perkakasan dan perisian untuk pengeluaran kad (untuk ibu pejabat dan cawangan JPN); pembaharuan lesen perisian dan perkhidmatan sokongan teknikal.

 

"Nilai kontrak asal adalah sebanyak RM39.75 juta dan nilai tambahan adalah sebanyak RM9.9 juta menjadikan jumlah keseluruhannya RM49.68 juta termasuk 6% cukai perkhidmatan dan jualan

 

"Di bawah terma baharu, kumpulan itu dikehendaki memberikan bon prestasi berjumlah RM993,764.42 kepada KDN dengan tempoh sah laku dilanjutkan sehingga 30 November 2024," katanya.

 

Pada tahun lalu, anak syarikat kumpulan itu, Datasonic Technologies Sdn. Bhd. telah menerima kontrak daripada KDN bernilai RM140 juta untuk membekalkan kad pekerja asing (I-Kad) kepada Jabatan Imigresen.

 

Kontrak itu adalah untuk tempoh 36 bulan bermula 1 November 2022 hingga 31 Oktober 2025.

 

Di bawah kontrak itu, Datasonic Technologies dikehendaki mengemukakan bon prestasi RM2.33 juta kepada kementerian dengan tempoh sah bermula dari 1 November 2022 hingga 31 Oktober 2026.

 

Perubahan dalam nilai kontrak dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 

 

Bagaimanapun ia tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama kumpulan itu. - DagangNews.com